Sesi persekolahan bermula seperti biasa esok di Pasir Gudang.
Sesi persekolahan bermula seperti biasa esok di Pasir Gudang.
Mary Victoria Dass


SESI pembelajaran bagi semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), swasta dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Pasir Gudang yang ditutup dibuka semula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, keputusan pembukaan semula semua institusi pendidikan itu dibuat selepas melihat hasil keputusan pemantauan kualiti udara di kawasan itu yang kini berada pada tahap normal.

“Sejak insiden berlaku, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuat pemantauan bacaan kualiti udara secara berkala.

“Setakat 12 tengah hari tadi, bacaan tahap kualiti udara di kawasan Pasir Gudang berada pada tahap normal.

“Sehubungan itu, sesi persekolahan dibuka semula mulai 30 Jun (esok),” katanya pada sidang media di Menara Aqabah Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) hari ini.

Terdapat 111 sekolah rendah dan menengah, tadika (347), tiga IPT dan 14 sekolah swasta serta antarabangsa.

Mohd Khuzzan berkata, sebagai langkah berjaga-jaga sepasukan petugas khas akan digerakkan ke sekolah yang pernah terjejas untuk melakukan pemantauan.

“Petugas khas akan memberikan sesi taklimat keselamatan dan berada dalam keadaan siap siaga jika berlaku kecemasan ketika sesi persekolahan esok,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khuzzan berkata, sebagai langkah pencegahan berterusan, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) akan menempatkan alat pengesan gas serta pengukur kualiti udara di beberapa lokasi berpotensi berlakunya kejadian itu.

“Peralatan ini membolehkan bacaan tepat dalam radius lebih meluas di sekitar Pasir Gudang.

“Penempatan alat ini perlu diberi keutamaan segera sebagai langkah proaktif pengesanan awal kualiti udara dan kehadiran gas berbahaya,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Khuzzan berkata, sehingga 12 tengah hari tadi tiada pesakit baharu dimasukkan ke wad sejak 25 Jun lalu dan tiada mangsa baharu dilaporkan.

Menurutnya, jumlah mangsa yang masih dirawat di wad hospital masih kekal seorang dan mangsa berada dalam keadaan stabil.

“Hasil pemantauan JAS mengambil tindakan penjejakan dan penyiasatan kepada 72 premis (sebelum ini 38 premis) industri bagi kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 merangkumi bahan Buangan Terjadual (40 kompaun) pertambahan 13 kompaun, Efluen Perindustrian (10 kompaun), Bilangan Notis Arahan (tiga notis) dan Perintah Tahan Operasi (3 premis).” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Azman Adnan dalam satu kenyataan berkata, semua pengetua dan guru besar diminta memaklumkan segera kepada semua guru, ibu bapa, murid dan kakitangan sekolah berkaitan perkara itu.

Katanya, pengetua, guru besar dan guru turut diminta merancang dan menjajarkan semula aktiviti pembelajaran mengikut kesesuaian perancangan sekolah berikutan pembelajaran rasmi yang ditangguhkan sepanjang tempoh sekolah ditutup.

“JPN Johor ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, pelbagai agensi kerajaan dan semua pihak yang membantu mengatasi isu pencemaran udara ini khususnya membabitkan murid dan pelajar di semua institusi pendidikan di Pasir Gudang.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 10:28 PM