Izlaily Nurul Ain Hussein


SEBANYAK 14 lagi sekolah di sekitar Pasir Gudang diarahkan tutup selama empat hari bermula esok hingga Khamis ini.

Semua sekolah itu adalah dalam jarak enam kilometer daripada Sekolah Agama Taman Mawar di Pasir Gudang yang juga sekolah pertama terjejas akibat pencemaran udara, Khamis lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, dua sekolah yang sebelum ini diarahkan tutup hari ini dan esok akan disambung tutup hingga Khamis ini.

“Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik dalam mesyuarat membuat ketetapan supaya sekolah yang berada dalam jajaran lokasi kejadian yang dikenal pasti, ditutup selama empat hari bermula esok hingga Khamis ini.

“Sekolah terbabit termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia, SK Taman Cahaya Masai, SK Felda Cahaya Baru, SK Kong Kong Laut, SK Taman Nusa Damai, SK Kopok, SK Kota Masai 3, SK Taman Cendana, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang dan SMK Kota Masai.

“Turut ditutup, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pasir Gudang, SK Taman Scientex, SMK Taman Scientex, SK Pasir Gudang 4 dan SMK Pasir Gudang 2 yang sebelum ini sudah ditutup,” katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi Pemantauan (PGOP) Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), hari ini.

PELAJAR SMK Tamam Nusa Damai dirawat di bilik rawatan pusat pemantauan kualiti udara di stadium tertutup Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
PELAJAR SMK Tamam Nusa Damai dirawat di bilik rawatan pusat pemantauan kualiti udara di stadium tertutup Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin

Menurutnya, pada masa sama institusi pengajian awam, sekolah agama kerajaan Johor dan semua pra sekolah serta tadika di jajaran yang dikenal pasti akan ditutup mengikut masa ditetapkan.

Ditanya mengenai situasi yang mana majoritinya menjejaskan murid dan pelajar sekolah, Mohd Khuzzan berkata, ia membabitkan mereka yang berada di tingkat tiga dan empat bangunan sekolah.

“Kita mendapati semua murid yang terjejas rata-ratanya bersekolah di tingkat tiga dan empat bangunan sekolah.

“Kita melihat keadaan ini berlaku mengikut arah angin yang kini dari arah selatan. Hanya sekolah-sekolah sahaja ditutup, itu pun setakat ini yang di jajaran angin ini,” katanya.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 5:23 PM
 PELAJAR SMK Taman Nusa Damai dibenarkan pulang selepas beberapa pelajar mengalami sesak nafas dan mual-mual di sekolah tersebut. FOTO Bernama
PELAJAR SMK Taman Nusa Damai dibenarkan pulang selepas beberapa pelajar mengalami sesak nafas dan mual-mual di sekolah tersebut. FOTO Bernama