BERNAMA

EMPAT orang, termasuk seorang kanak-kanak perempuan, maut dalam kemalangan melibatkan dua lori dan sebuah kereta di Jalan Kuari Bukit Mendi-Felda Bukit Mendi di Bera dekat Kuantan, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, kemalangan berlaku 1.35 tengah hari dan semua mangsa yang maut iaitu seorang lelaki dewasa, dua wanita dan seorang kanak-kanak, menaiki kereta Perodua Viva.

Beliau berkata, kemalangan juga menyebabkan seorang pemandu lori cedera dan dihantar ke Klinik Kesihatan Bukit Mendi manakala pemandu sebuah lagi lori yang terlibat tidak mengalami kecederaan.

“Sebuah jentera dengan seorang pegawai dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu mengeluarkan semua mangsa yang tersepit,” katanya menerusi kenyataan.

Kemalangan itu menyebabkan kereta Perodua Viva tersebut terperosok ke bawah treler yang tidak membawa muatan manakala sebuah lagi lori terbabas ke bahu jalan.

Beliau berkata jenazah semua mangsa, yang setakat ini masih belum disahkan identitinya, diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 5:32 PM
EMPAT maut termasuk seorang kanak-kanak perempuan dalam kemalangan. FOTO ihsan Bomba
EMPAT maut termasuk seorang kanak-kanak perempuan dalam kemalangan. FOTO ihsan Bomba