KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang remuk selepas kemalangan. FOTO Ihsan Polis.
KEADAAN kereta dinaiki mangsa yang remuk selepas kemalangan. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Fatihah Sulaini


Setiu: Bayi perempuan berusia lima bulan maut, manakala empat yang lain parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 51 Jalan Sungai Lerek, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6.15 petang, mangsa Nur Al Ammara Mohamad Budiman dari Tanah Merah, Kelantann disahkan meninggal dunia di Hospital Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, pihak polis menerima panggilan kira-kira 9.55 malam memaklumkan seorang mangsa kemalangan meninggal dunia di hospital.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku antara kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan Perodua Viva.

"Kemalangan berlaku apabila Toyota Alphard dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Johor Bahru bertembung dengan Perodua Viva dari arah bertentangan.

"Pemandu Perodua Viva itu dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya, namun gagal sebelum bertembung dengan Toyota Alphard," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemandu dan empat penumpang Toyota Alphard mengalami kecederaan lalu dihantar ke Hospital Setiu untuk rawatan kecemasan.

Katanya, pemandu Perodua Viva dan empat penumpang termasuk seorang bayi juga dihantar ke hospital sama, namun bayi itu disahkan meninggal dunia di hospital.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 6:50 PM