MOHD Zafran Yasoa, 38, menawarkan perkhidmatan trak tunda (towing) percuma dari Sungai Sam, Kuala Krai sehingga ke Kota Bharu kepada pengguna yang mengalami kerosakan kenderaan dan tidak berkemampuan. FOTO Ihsan Mohd Zafran
MOHD Zafran Yasoa, 38, menawarkan perkhidmatan trak tunda (towing) percuma dari Sungai Sam, Kuala Krai sehingga ke Kota Bharu kepada pengguna yang mengalami kerosakan kenderaan dan tidak berkemampuan. FOTO Ihsan Mohd Zafran
Siti Nor Hidayatidayu Razali


MENGENANGKAN kesusahan hidup masa lalu memberi inspirasi kepada seorang lelaki menawarkan perkhidmatan trak tunda (towing) secara percuma kepada pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan bermula dari 3 hingga 5 Jun depan.

Pemilik syarikat ZeckZoro Enterprise, Mohd Zafran Yasoa, 38, berkata, dia menawarkan perkhidmatan itu untuk perjalanan dari Sungai Sam, Kuala Krai sehingga ke Kota Bharu kepada orang ramai yang tidak berkemampuan.

Mohd Zafran yang tinggal di Sungai Durian, Kuala Krai berkata, idea itu tercetus selepas melihat kesusahan perantau yang pulang ke Kelantan untuk menyambut Aidilfitri.

“Jika kenderaan mengalami kerosakan di musim perayaan harga perkhidmatan trak tunda yang ditawarkan akan naik mendadak sekitar RM500 berbanding hari biasa RM300.

“Jadi, saya mahu memberi khidmat percuma kepada orang ramai kerana ingin meringankan beban yang ditanggung mereka.

“Walaupun, saya boleh mengaut keuntungan di musim perayaan, namun saya mahu berbakti kepada masyarakat. Hanya cara ini yang saya mampu lakukan dengan menggunakan dua trak tunda untuk membantu orang ramai yang mengalami kerosakan kenderaan,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, hari ini.

Perkhidmatan trak tunda percuma yang ditawarkan Mohd Zafran mula tular di media sosial Facebook sejak semalam dan mendapat reaksi positif daripada orang ramai.

Bapa kepada lima anak itu berkata, ideanya itu disokong oleh isteri, Norfadiana Othman, 35, yang mahu dirinya membantu orang memerlukan seramai mungkin.

“Tahun lalu, sebanyak 26 kenderaan yang mendapat perkhidmatan trak tunda percuma dan saya anggarkan tahun ini lebih ramai yang saya dapat bantu.

“Perkhidmatan ini dapat dilaksanakan dengan bantuan beberapa pekerja yang turut gembira untuk membantu orang ramai.

“Kepada mereka yang mahu mendapatkan khidmat towing percuma boleh menghubungi saya di talian 0134885886 atau pejabat 099665886,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 2:23 PM