Skuad Perantau menawarkan perkhidmatan trak tunda (towing) secara percuma kepada perantau yang mengalami kerosakan kenderaan ketika pulang berhari raya menjelang dua hari sebelum Aidilfitri. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Skuad Perantau menawarkan perkhidmatan trak tunda (towing) secara percuma kepada perantau yang mengalami kerosakan kenderaan ketika pulang berhari raya menjelang dua hari sebelum Aidilfitri. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Sekumpulan anak muda dari Skuad Perantau menawarkan perkhidmatan trak tunda secara percuma kepada perantau yang mengalami kerosakan kenderaan ketika pulang berhari raya dua hari sebelum Aidilfitri.

Pengerusi Skuad Perantau, Mohd Zafran Yasoa, 43, berkata, sebanyak sembilan trak tunda sedia berkhidmat bermula dari Sungai Sungai Sam, Kuala Krai sehingga ke Kota Bharu untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.

Katanya, sekiranya kenderaan mengalami kerosakan di musim perayaan harga perkhidmatan trak tunda yang ditawarkan akan naik mendadak sekitar RM900 berbanding hari biasa di antara RM450 hingga RM500.

"Memahami situasi ini, saya dan beberapa pemandu trak tunda dengan rela hati memberi khidmat percuma kepada perantau kerana ingin meringankan beban yang ditanggung mereka.

"Walaupun kami boleh mengaut keuntungan di musim perayaan, namun itu bukan menjadi keutamaan, sebaliknya mahu berbakti kepada masyarakat," katanya ketika ditemui di Guchil, di sini, hari ini.

Mohd Zafran berkata, idea untuk menawarkan perkhidmatan trak tunda itu tercetus pada tahun 2019 selepas melihat kesusahan perantau yang pulang ke Kelantan untuk menyambut Aidilfitri.

"Ketika itu, saya melakukannya secara persendirian dan dibantu beberapa pekerja dengan menggunakan dua trak tunda, namun selepas daripada itu terdapat beberapa pemandu trak tunda yang mahu bersama-sama membantu perantau dengan menawarkan perkhidmatan trak tunda secara percuma.

"Alhamdulillah, tahun ini terdapat sembilan trak tunda yang disediakan dan kami akan membantu mereka yang memerlukan sehingga pagi Hari Raya Aidilfitri selain memastikan ahli keluarga mereka sampai dengan selamat," katanya.

Katanya, kebiasaannya pada setiap tahun purata kenderaan yang dibantu akibat mengalami kerosakan adalah di antara 10 hingga 15 buah dan menggunakan perkhidmatan trak tunda.

"Kepada mereka yang mahu mendapatkan khidmat tunda percuma boleh menghubungi mereka di talian 013-4885886 (Zeck).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 12:20 PM