GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


GARA-GARA berebut kawasan mengambil buah kelapa sawit, seorang lelaki warga Indonesia bertindak di luar jangkaan apabila menikam abangnya dalam kejadian di sebuah ladang di Pasai Siong, Sibu, semalam.

Kejadian itu menyebabkan perut mangsa, Irwan Maseng, 31, terburai, namun dia ditemui selamat.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa yang bekerja sebagai pemungut buah kelapa sawit itu ditemui terbaring di kawasan ladang pada 10 pagi.

“Penyelia ladang itu yang membuat rondaan rutin menemui mangsa yang parah di bahagian perut dan sedang dipangku dua rakannya.

“Penyelia itu kemudiannya menghubungi penolong pengurus ladang untuk meminta bantuan kenderaan,” katanya.

Stanley berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan penyelia itu, dia dimaklumkan oleh seorang pekerja bahawa mangsa bergaduh dengan adiknya selepas mereka berebut kawasan mengambil buah kelapa sawit.

“Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sibu bergegas ke lokasi kejadian, namun suspek sudah melarikan diri menggunakan motosikal.

“Mangsa kini dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaannya stabil selepas menjalani pembedahan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang giat mengesan suspek yang dikenali sebagai Riswan Jumaseng, 20.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 3:20 PM