KEADAAN restoran yang berselerak selepas dirosakkan lima lelaki yang mengamuk. FOTO Harun Yahya
KEADAAN restoran yang berselerak selepas dirosakkan lima lelaki yang mengamuk. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya


GARA-gara tidak berpuas hati dengan makanan yang dipesan, lima lelaki bertindak ganas memecahkan barangan di sebuah restoran di Jalan Pahlawan di Sibu, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian jam 9.30 malam itu berlaku apabila tiga suspek yang dipercayai dalam pengaruh alkohol bertengkar dengan seorang pelayan di restoran berkenaan mengenai makanan yang mereka pesan.

Beliau berkata, dua lagi rakan suspek kemudian datang dan masuk campur sebelum semua yang berusia 18 hingga 24 tahun itu mengamuk serta merosakkan barangan di restoran berkenaan.

“Seorang pekerja lelaki restoran itu cedera di muka selepas dipukul dengan penyapu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semua suspek berjaya dikesan dan ditangkap oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Sibu, malam tadi.

Turut dirampas, sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan serta penyapu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

“Kerosakan di premis berkenaan dianggarkan melebihi RM20,000. Semua suspek sudah dibawa ke Mahkamah Sibu pagi tadi untuk permohonan reman selama dua hari sehingga Jumaat ini.

“Suspek turut dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk saringan air kencing” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 5:25 PM