GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Harun Yahya


SEORANG kanak-kanak lelaki ditemui lemas selepas dipercayai cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam parit di belakang rumahnya di sebuah ladang kelapa sawit di Sibu, kira-kira jam 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa dikenali sebagai Infra Agus, 4, ditemui pekerja ladang dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam parit itu.

Beliau berkata, menurut saksi, kanak-kanak itu dilihat bermain bola di kawasan belakang rumahnya sebelum ditemui dalam parit berkenaan.

“Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam parit sedalam kira-kira 1.5 meter ketika cuba mengambil bola,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Stanley berkata, polis menerima panggilan daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan Bawang Assan memaklumkan kejadian itu.

“Mangsa adalah anak pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia dan disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bawang Assan pada jam 5.30 petang.

“Pemeriksaan Unit Forensik Hospital Sibu mendapati, tiada sebarang kecederaan atau kesan lebam ditemui pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 5:42 PM