DR Mahathir semasa sesi bergambar bersama pemimpin negara selepas mesyuarat  Forum Inisiatif Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa Kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Tasik Yanqi, semalam.
DR Mahathir semasa sesi bergambar bersama pemimpin negara selepas mesyuarat Forum Inisiatif Jalur dan Laluan bagi Kerjasama Antarabangsa Kedua di Pusat Konvensyen Antarabangsa Tasik Yanqi, semalam.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd menukar dua dokumen di Beijing, semalam dengan rakan kongsi dari Pakistan dan China untuk membantu merancakkan pelan pengembangan masa depan syarikat itu.

Proton dalam kenyataan berkata, yang pertama adalah pertukaran dokumen untuk perjanjian pelesenan dan bantuan teknikal (LTAA) antara Proton dan Al-Haj Automotive, pengedar rasmi kenderaan Proton di Pakistan.

“Susulan kepada majlis pecah tanah yang diadakan di Islamabad pada Mac, LTAA mengikat perjanjian untuk Proton dan Al-Haj bagi membina kilang pengeluaran komponen terurai (CKD) baharu untuk memasang dan mengedarkan kenderaan Proton di Pakistan,” katanya.

Kilang baharu itu akan dibina di Karachi di tapak baharu dengan pelaburan awal AS$30 juta, dan akan mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan langsung dalam tempoh tiga tahun pertama operasinya dan anggaran 20,000 pekerjaan tidak langsung yang menyokong industri pada tahun akan datang.

Pertukaran dokumen yang kedua adalah antara Proton dan China Construction Bank (CCB) untuk kemudahan perbankan yang bernilai RM1.88 bilion untuk membiayai pelan pengembangan perniagaan masa depan Proton berikutan ia berusaha untuk mencapai matlamatnya untuk menjadi jenama automotif nombor satu di Malaysia dan nombor tiga di ASEAN menjelang 2027.

Pertukaran dokumen itu disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berada di Beijing untuk menghadiri Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa yang kedua.

Proton komited untuk membangunkan ekosistem automotif Malaysia dengan menggalakkan vendor tempatan membangunkan kecekapan, kualiti dan kepakaran mereka membekalkan komponen berteknologi tinggi pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 6:00 AM