Oleh Sofyan Rizal Ishak


PROTON Holdings Bhd (Proton) bakal membina kilang pemasangan tempatan (CKD) di Karachi, Pakistan melalui pelaburan awal AS$30 juta (RM124.29 juta) dengan aktiviti pengeluaran dijadualkan bermula pada 2021.

Pembinaan bagi kilang di tapak Greenfield, Karachi itu giat dijalankan dengan fasiliti terbabit dimiliki dan dikendalikan ALHAJ Automotive iaitu pengedar rasmi Proton di Pakistan.

Pengarah Pelaburan dan Promosi Proton, Khalid Yusof berkata, kilang itu akan memasang beberapa model Proton dan ia mampu mencipta 2,000 peluang pekerjaan langsung dalam tempoh tiga tahun operasinya serta anggaran lebih 20,000 peluang pekerjaan tidak langsung selepas ia siap dibina kelak.

Menurutnya, pembinaan kilang itu membantu syarikat dalam mencapai matlamat jangka panjang untuk menjual 400,000 unit kereta menjelang 2027.

“Kami harap pembinaan kilang CKD dengan kerjasama ALHAJ Automotive itu membolehkan kami mendapat kelebihan pengurangan cukai bagi kenderaan di Pakistan,” katanya dalam kenyataan pada majlis penyerahan rasmi Proton X70 kepada kerajaan Pakistan di Islamabad.

Penyerahan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton itu rentetan lawatan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Pakistan ketika sambutan Hari Resolusi pada Mac lalu yang menyaksikan beliau menghadiahkan Proton X70 kepada Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan.

Mewakili Malaysia pada majlis itu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ikram Mohammad Ibrahim manakala, kerajaan Pakistan diwakili Penasihat Perdana Menteri bagi Perdagangan, Tekstil, Industri, Pengeluaran dan Pelaburannya, Abdul Razak Dawood.

Sementara itu, Pengerusi ALHAJ Automotive, Alhaj Shah Jee Gul Afridi berkata, pihaknya akan memanfaatkan pengedar sedia ada di seluruh negara itu untuk mula menjual kereta Proton secepat mungkin sementara membangunkan cawangan jualan, servis, alat ganti dan ketuk serta cat (3S/4S) di negara itu.

“Kami akan menghantar unit model import sepenuhnya (CBU) dari Malaysia sebagai permulaan operasi di sini sebelum memasarkan unit CKD sebaik saja kilang mula beroperasi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 12:49 PM