X
MENJELANG suku kedua 2021, Proton berusaha tingkatkan kehadiran pasaran antarabangsa.
MENJELANG suku kedua 2021, Proton berusaha tingkatkan kehadiran pasaran antarabangsa.
Bisnes Metro
bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Proton menambah portfolio pasaran antarabangsanya apabila model jualan terlaris syarikat itu, Proton Saga membuat kemunculan sulungnya di Pakistan awal bulan ini.

Setakat ini, terdapat lapan pasaran antarabangsa Proton iaitu Brunei, Bangladesh, Mesir, Jordan, Kenya, Mauritius, Nepal dan Pakistan.

Sementara itu, Proton Saga di pasaran Pakistan terdiri daripada Saga MT, Saga AT dan Saga Ace AT.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, menjelang suku kedua 2021, Proton berusaha meningkatkan kehadiran pasaran antarabangsa untuk mencapai matlamat jangka panjangnya.

"Selain Saga, model terlaris di kebanyakan pasaran, Proton X70 dan Proton X50 juga dieksport untuk mewujudkan rangkaian kenderaan pintar syarikat di luar negara.

"Eksport tunggak penting bagi Proton dan sumbangannya pada peratusan jumlah penjualan kami meningkat pada tahun akan datang.

"Selain mempromosikan ciri-ciri produk, kami juga memanfaatkan reputasi berkualiti tinggi sektor pembuatan Malaysia, yang memberi kredibiliti kepada kisah produk kami sendiri.

"Pada 2021, selain mencari peluang baru, kami juga meningkatkan usaha memasuki kembali pasaran besar Asean seperti Thailand dan Indonesia," katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Ikram Mohammad Ibrahim, berharap operasi Proton di Pakistan mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dua negara.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Al-Haj Automotive, Hilal Khan Afridi, pihaknya yakin pelanggan Pakistan akan berminat dengan jenama Proton dan produknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 8:16 AM