FINALIS Bintang Bersama Bintang (BBB 2019). FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
FINALIS Bintang Bersama Bintang (BBB 2019). FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Sudirman Mohd Tahir


SIAPAKAH bakal bergelar juara program Bintang Bersama Bintang (BBB 2019), sekali gus membawa pulang RM100,000? Semuanya akan terjawab malam esok dalam pentas akhir program berkenaan yang bersiaran secara langsung di TV3.

BBB 2019 menyaksikan lima finalis berentap iaitu Achey, Chiwan, Mamak Puteh, Sharif Zero dan Shuk.

Selepas tujuh minggu bersaing, pastinya pentas akhir esok bakal menentukan siapa paling lawak seterusnya menambat hati juri tetap dan penonton di rumah.

Malah, tekanan berbeza juga dirasai setiap peserta, apatah lagi masing-masing memasang impian untuk bergelar juara.

Di atas kertas Achey dilihat berpotensi besar untuk muncul pemenang selepas tiga kali berturut-turut bergelar juara mingguan dengan membawa pulang wang keseluruhan berjumlah RM30,000.

Namun, saingan terdekat datang daripada Shuk yang mana dua finalis iaitu Chiwan dan Mamak menamakan­nya sebagai pesaing terdekat mereka.

Bagi Achey pentas akhir adalah penentu segalanya dan peluang untuk membuat persembahan secara ‘all out’. Dalam erti kata lain, Achey mahu fokus dan menyasarkan untuk juara.

DARI kiri Achey dan Shuk.
DARI kiri Achey dan Shuk.

“Diakui, pentas akhir tekanan dirasai memang berbeza. Walaupun sudah beberapa kali beraksi di peringkat akhir dalam program lain, perasaan gementar dan tekanan tetap ada.

“Cuma, apa boleh dikatakan saya akan cuba buat yang terbaik. Saya ingin menggunakan idea tipikal iaitu dekat dengan penonton. Dalam masa sama selitkan unsur nasihat.

“Bagi saya, elemen sebegini memang kegemaran juri. Buktinya, beberapa kali saya buat perkara sama dan ia berbaloi apabila mendapat markah tinggi. Malah, Abang Saiful Apek pernah cakap, dia inginkan komedi yang lain dan ada input. Bukan sekadar lawak kosong,” katanya.

Achey yang memilih penyanyi Black sebagai artis jemputan menyifatkan per­saingan musim kali ini sangat hebat.

“Keyakinan ada, tapi tidak boleh jangka apa-apa. Ini kerana finalis lain pun hebat. Paling penting, saya kena yakin pada artis jemputan dan sketsa.

“Saya boleh sebutkan, Shuk dan Sharif adalah pesaing terdekat. Tapi, Mamak dan Chiwan tidak boleh dilupakan,” katanya.

HARAP TUAH AFDLIN

Bagi Chiwan, pemilihan Datuk Afdlin Shauki yang dianggap sifu dalam kerjayanya diharap dapat membantu persembahannya esok.

“Alhamdulillah, saya berjaya dapatkan sifu saya iaitu Datuk Afdlin. Selepas berbincang, kami cuba main lebih besar. Sejujurnya, saya meletakkan kepercayaan tinggi kepada beliau untuk membantu. Saya berasakan, penyertaan kali ini ada turun naik dan tidak konsisten.

DARI kiri, Mamak dan Chiwan.
DARI kiri, Mamak dan Chiwan.

“Memang gementar, tapi saya nak ‘enjoy’ saja. Saya tidak mahu terlalu tekanan sebab nanti mengganggu fokus. Apa pun, saya berserah kepada rezeki,” katanya.

Chiwan berkata, dia akan bekerja keras dan berusaha lebih memandangkan dirinya kurang popular berbanding empat finalis lain.

“Cabaran berbeza bagi diri sendiri sebab mereka nama besar. Saya pula tidak popular. Namun, saya tak letakkan diri ‘underdog’. Tugas saya sekarang kena lebih bekerja keras.

“Saya berasakan Shuk adalah pesaing terdekat. Sebabnya, dia selalu main gila dan besar. Setiap minggu dia buat bersungguh-sungguh. Achey pula dia tak main besar, tapi dia ada kekuatan sendiri,” katanya.

GUNAKAN POPULARITI FIKRY IBRAHIM

Berbeza dengan yang lain, Mamak Puteh pula buat pertama kali mencabar diri bekerjasama dengan pelakon Fikry Ibrahim.

Mamak berkata, populariti Fikry diharap dapat membantu untuknya meraih undi penonton sebanyak 40 peratus.

“Fikry popular, jadi saya mempertaruhkan dirinya untuk meraih undi. Dalam masa sama, saya berasakan kami ada keserasian. Walaupun tidak pernah bekerjasama, tapi saya selesa dengannya.

“Tidak mahu ambil nama besar sebab susah nak uruskan nanti. Jadi, saya berasakan Fikry adalah pilihan tepat. Insya-Allah, persembahan kami akan menggemparkan penonton yang hadir,” katanya yang bakal membuat kejutan dengan mengimpunkan beberapa watak superhero.

Mamak berkata, dia mahu menang dan berjanji memberikan saingan kepada finalis lain.

“Bercakap soal pesaing, saya berasakan Shuk. Sebab dia selalu keluar dengan idea gila dan luar jangkaan selain menjadi peserta yang konsisten.

“Sudah tentu semua nak menang, begitu juga saya. Sedikit sebanyak mendatangkan tekanan pada diri,” katanya.

BERJAYA PUJUK JIHAN MUSE

Bagi Shuk, kejayaan awal buatnya apabila dapat memujuk bekas rakan sekumpulannya daripada SYJ iaitu pengacara dan pelawak Jihan Muse untuk bergandingan dengannya.

Menurut Shuk, dari awal pertandingan lagi dia sudah memilih Jihan untuk beraksi bersamanya jika layak ke akhir.

“Saya pilih Jihan sebab rindu nak bekerjasama dengan dia. Apatah lagi sebelum ini dia pernah cakap tidak mahu lagi masuk bertanding. Cuma sebagai artis jemputan okey.

“Kalau ikutkan dari tahun lepas lagi nak Jihan, tapi dia dalam tempoh berpantang. Alhamdulillah, ada rezeki saya tahun ini dengan dia.

“Kami merancang untuk buat perkara yang dekat dengan penonton sekarang. Kami nak parodikan Nur 2. Ada rezeki, nak bawa Azhan Rani membuat kemunculan. Kejutan itu ada, Insya-Allah,” katanya.

Shuk berkata, dia berharap dapat menjadi juara kerana sudah lama mengimpikan gelaran itu.

“Bukan saja saya, tetapi finalis lain pun nak menang juga. RM100,000 tu bukan sikit. Sekurang-kurangnya saya nak juga rasa menjadi juara.

“Pesaing terdekat, bagi saya semua pesaing. Apa saja boleh terjadi kerana semua ada ‘senjata’ tersembunyi.

“Disebabkan itu wujud tekanan dalam diri. Mahu atau tidak, kena bersaing juga dan buktikan kemampuan. Kalau bertanding tapi buat tak okey, ia hanya akan menjatuhkan diri sendiri,” katanya.

SHARIF BERSERAH

Ketika artikel ini ditulis, Sharif masih belum mempunyai artis jemputan selepas adiknya iaitu Atu tidak dapat memberikan komitmen atas faktor masa dan kerja.

“Atu adalah pilihan pertama saya. Malangnya dia tidak boleh berikan komitmen. Malah, dia juga tidak mahu beri sebarang jaminan bagi mengelakkan risiko lain.

“Disebabkan itu, saya memikirkan dua nama iaitu Wany Hasrita atau Siti Nordiana. Walaupun, jadual mereka juga sibuk, saya berharap seorang daripada mereka boleh terbabit sama.

SHARIF ZERO
SHARIF ZERO

“Saya memilih mereka kerana masing-masing ada aura tersendiri dan memang popular. Dari segi undian mereka boleh tarik perhatian penonton. Macam minggu separuh akhir, saya kalah undian dengan Achey. Kalau tidak dapat mereka, pilihan akhir adalah abang saya iaitu Saiful,” katanya.

Menurut Sharif, dia menamakan Chiwan sebagai pesaing terdekat.

“Sepanjang saingan ini, Chiwan sentiasa muncul dengan kejutan dan idea yang menarik dalam persembahan.

“Jadi, pada malam akhir nanti tidak mustahil dia akan memberikan lebih hebat lagi. Apa pun, saya cuba berikan yang terbaik dan boleh menang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 6:00 AM