SHUK dinobatkan juara pada saingan akhir Super Bintang Bersama Bintang 2019. FOTO: Faiz Anuar
SHUK dinobatkan juara pada saingan akhir Super Bintang Bersama Bintang 2019. FOTO: Faiz Anuar
Norhayati Nordin


SEBUT saja parodi, kebanyakan penonton pasti teringat aksi mencuit hati dipersembahkan Shuk Sahar dan Jihan Muse.

Bertepatan dengan status sebagai ‘raja dan ratu parodi’, gandingan mereka sangat mantap dan menghiburkan.

Dengan mengambil secebis kisah drama Nur 2 yang popular di TV3, tuah menyebelahi Shuk, 33, apabila dinobatkan sebagai juara Super Bintang Bersama Bintang (BBB) 2019, malam kelmarin.

PERSEMBAHAN Shuk(kanan) dan Jihan Muse (kiri) turut serta penampilan khas pelakon, Azhan Rani (tengah).
PERSEMBAHAN Shuk(kanan) dan Jihan Muse (kiri) turut serta penampilan khas pelakon, Azhan Rani (tengah).

Shuk menewaskan empat pelawak lain iaitu Achey atau Nasir Hamzah, 33, Sharif Kadir Doli Sharif (Sharif, 29), Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh, 34) dan Mohd Azwan Sabri (Chiwan, 33).

Ditemui di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam selepas kemenangannya, Shuk berkata, penat lelah mencari idea sketsa untuk dipersembahkan berbaloi dengan kemenangan itu.

“Saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini. Apatah lagi bukan mudah untuk saya bekerjasama dengan Jihan kerana jadual kerjanya terlalu padat.

“Terus-terang, saya sebenarnya sudah berusaha mendapatkan Jihan sebagai bintang undangan sejak BBB 2018 lagi.

“Bagaimanapun, ketika itu kami tidak dapat bergandingan kerana Jihan menimang cahaya mata dan berpantang,” katanya.

ACHEY dan Black.
ACHEY dan Black.

Menurut Shuk atau nama sebenarnya,Mohammad Shukri Mohammed Sahar, dia nekad memujuk Jihan demi memastikan rakannya itu dapat beraksi di pentas BBB 2019 bersamanya.

“Selalu jugalah saya ganggu Jihan untuk mendapatkan persetujuannya. Begitu juga dengan usaha mendapatkan Azhan Rani.

“Saya memang terfikir mahu mengangkat kisah drama Nur 2 untuk diperodikan dan berharap Azhan dapat menyertai saya di pentas akhir.

“Alhamdulillah, segala yang saya harapkan itu dipermudahkan Ilahi. Mungkin sudah tertulis ini rezeki anak kedua dan keluarga saya,” katanya gembira.

CHIWAN (kanan) dan Afdlin.
CHIWAN (kanan) dan Afdlin.

Syuk turut mengakui kemunculan Azhan yang popular dengan watak Ustaz Syed Hamadi sangat membantu perjalanan sketsa yang dipersembahkan.

“Selain Jihan, pembabitan Azhan turut membantu kejayaan saya di kemuncak Super BBB 2019. Ternyata tarian ‘police entry’ itu sangat mencuit hati.

“Sangat terserlah sisi komedi Azhan yang pada saya sangat hebat. Terima kasih Jihan dan Azhan kerana membantu saya,” katanya.

Berbicara mengenai wang kemenangan itu, Shuk berkata, dia bercadang mahu membawa keluarga mengerjakan umrah ke Tanah Suci Makkah. Melihat ramai rakan pelawak sudah menjejakkan kaki ke Makkah, dia juga teringin menjadi tetamu Allah SWT.

JURI AKUI SHUK LEBIH MENYERLAH

Selama lapan minggu program BBB 2019 disiarkan di TV3, dua juri tetap iaitu pelakon Saiful Apek dan penyanyi Mark Adam sangat berpuas hati dengan per­sembahan peserta.

Rangkaian sketsa komedi dipersembahkan peserta setiap minggu bukan saja menghiburkan tetapi sarat dengan pelbagai mesej kehidupan dan realiti.

Apapun, menurut Apek persembahan Shuk sangat menyerlah selaku peserta akhir, sekali gus berjaya menumpaskan Achey.

“Daripada lima peserta yang berentap di kemuncak Super BBB 2019, persembahan Achey dan Shuk nampak sangat meriah.

“Bagaimanapun, selepas dinilai dengan teliti, persembahan Shuk lebih menyerlah dan layak dinobatkan sebagai juara,” katanya.

Pekerja restoran di Peringgit Jaya, Melaka melayan pelanggannya yang membuat tempahan makanan. Foto Mohd Hilmie Hussin
Pekerja restoran di Peringgit Jaya, Melaka melayan pelanggannya yang membuat tempahan makanan. Foto Mohd Hilmie Hussin

Menurut Mark Adam pula, pengisian sketsa dipersembahkan Shuk juga lancar dan masa yang digunakan tepat. Ujarnya, Swhuk betul-betul membuat persediaan.

“Sebagai juri, saya memang terhibur dengan persembahan Shuk bersama Jihan dan Azhan. Gandingan mereka bertiga sangat menjadi.

“Penonton di studio juga terhibur dan jelas sekali aura Azhan dengan watak Syed Hamadin mendapat perhatian ramai,” katanya.

Mark Adam turut memuji usaha semua peserta BBB 2019 yang bekerja keras dan kreatif menyampaikan sketsa masing-masing.

Sehubungan itu, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein atau mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom bertindak sebagai pengacara BBB 2019.

Antara selebriti yang menjadi tetamu undangan untuk persembahan pada malam kemuncak Super BBB 2019 ialah Datuk Afdlin Shauki, Fikry Ibrahim, Heliza Helmi dan Black Hanifah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 5:30 AM