MOHAMMAD Shukri dinobatkan juara pada saingan akhir Super Bintang Bersama Bintang 2019 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
MOHAMMAD Shukri dinobatkan juara pada saingan akhir Super Bintang Bersama Bintang 2019 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.
Norhayati Nordin

PERCATURAN diambil pelawak Shuk Sahar, 33, mengetengahkan elemen komedi bercirikan Islamik berjaya melayakkan dirinya dinobatkan juara Super Bintang Bersama Bintang (BBB) 2019 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam tadi.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohammed Sahar dilihat bijak mengguna peluang apabila kehangatan drama Nur 2 yang popular di TV3 baru-baru ini digunakan sebagai jalan cerita komedinya.

Membawakan watak Ustaz Adam dalam persembahan komedinya, Shuk berganding dengan Jihan Muse sebagai Nur serta Azhan Rani yang dikecam dengan watak Ustaz Syed Hamadi.

Kemenangan Shuk itu sekali gus menyaksikan empat pelawak lain tewas iaitu Achey atau Nasir Hamzah, 33, Sharif Kadir Doli Shatif (Sharif, 29), Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh, 34) dan Mohd Azwan Sabri (Chiwan, 33).

Program BBB 2019 disiarkan selama lapan minggu di TV3 dengan kesemua peserta bertanding kali ini pernah menang RM10,000 setiap minggu.

Achey yang turut diramal juara sebelum ini, pernah menang sebagai juara mingguan sebanyak tiga kali ini dan membawa pulang RM30,000.

Sehubungan itu, persembahan peserta program BBB 2019 setiap minggu dinilai juri tetap iaitu pelakon Saiful Apek dan penyanyi, Mark Adam.

Tidak ketinggalan, penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein atau mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom bertindak sebagai pengacara.

Antara selebriti yang menjadi tetamu undangan untuk persembahan pada malam kemuncak Super BBB 2019 ialah Datuk Afdlin Shauki, Fikry Ibrahim, Heliza Helmi dan Black Hanifah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 11:33 PM