Mary Victoria Dass


TIGA sekolah dan dua tadika akan ditutup selama dua hari bermula esok (23 Jun hingga 24 Jun) sebagai langkah berjaga-jaga berikutan pencemaran udara hingga lapan kanak-kanak terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat sesak nafas, loya dan muntah-muntah sejak kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, sekolah yang akan ditutup adalah Sekolah Agama (SA) Taman Mawar, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2.

Menurutnya, dua tadika yang akan ditutup bagi tempoh sama adalah Tadika Pasti dan Tadika Pintar Bestari di kawasan berhampiran.

RUANG pameran kenderaan diubah kepada kediaman berloteng.
RUANG pameran kenderaan diubah kepada kediaman berloteng.

Katanya, keseluruhan sekolah berkenaan mempunyai kira-kira 3,000 pelajar dan murid.

“Sebagai langkah berjaga-jaga jawatankuasa teknikal memutuskan radius pemantauan diperluaskan dan sehingga kini pemantauan dijalankan merangkumi radius 1.1 kilometer bagi memastikan tahap keselamatan terkawal.

“Pasukan pemantauan kualiti ditubuhkan terdiri daripada Jabatan Kimia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Meteorologi.

“Tiada panggilan susulan diterima oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung kes terbaru dan orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat sahih,” katanya pada sidang media di Stadium Tertutup Pasir Gudang di sini, hari ini.

Menurutnya, untuk maklumat lanjut boleh hubungi talian 07-2513444 atau 07-3409999.

Lagi berita berkaitan Pencemaran Udara Pasir Gudang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 5:34 PM