GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

KANAK-KANAK lelaki berusia tiga tahun ditemui lemas selepas mandi di kolam sebuah resort di Bandar Baru Nilai, Nilai, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, pada kejadian 9 pagi itu, mangsa dipercayai mandi bersama abangnya berusia lima tahun.

Beliau berkata, bapa mangsa berusia 40-an yang juga seorang jurutera memantau aktiviti dua anaknya sebelum pergi ke tandas.

“Ketika itu, ibu mangsa yang berusia 40-an mengambil giliran memantau dua beradik itu mandi. Wanita itu turut memangku seorang lagi anak mereka, bayi berusia 10 bulan.

“Tiba-tiba, mangsa lemas menyebabkan wanita terbabit menjerit meminta pertolongan.

“Bapa mangsa dengan bantuan orang awam mengeluarkan kanak-kanak itu dari kolam, namun mangsa sudah keadaan tidak sedarkan diri,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, kanak-kanak berkenaan dibawa ke sebuah pusat perubatan di Nilai, tetapi kemudian disahkan sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban dan akan dibedah siasat esok,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 4:32 PM