Operasi SAR diteruskan. Gambar kecil - Ebiline. FOTO Ihsan Bomba
Operasi SAR diteruskan. Gambar kecil - Ebiline. FOTO Ihsan Bomba
Oleh Khalid Latip


MAYAT kanak-kanak lelaki, yang juga mangsa kedua tragedi perahu karam di Lubuk Sepali, Sungai Entabai, di Julau, petang kelmarin, ditemui hari ini.

Mayat Kelvin Sama Markus, 6, ditemui terapung tidak jauh dari lokasi perahu itu karam berhampiran Sungai Pecur kira-kira jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintendan Bidol Noyeng, berkata, mayat mangsa ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

“Mayat kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat.

“Ia menjadikan dua mayat mangsa berjaya ditemui sehingga kini, termasuk mangsa pertama iaitu seorang wanita, Lenny Ingang, 46, yang ditemui jam 12.30 tengah hari semalam,” katanya.

Berikutan itu, katanya, usaha kini dipergiatkan bagi mengesan seorang lagi mangsa, Ebiline Linty Kaya, 23, yang dilaporkan masih hilang.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin, ketiga-tiganya bersama dua lagi anggota keluarga mereka menaiki perahu dan dalam perjalanan pulang ke rumah panjang mereka di Nanga Ensiring selepas menziarahi saudara di Nanga Entabai.

Bagaimanapun, tidak sampai 50 meter untuk tiba di jeti rumah panjang itu, perahu dinaiki tiba-tiba dimasuki air sebelum karam.

Tiga mangsa dihanyutkan arus deras, manakala dua lagi anggota keluarga mereka sempat berenang ke tebing sungai sebelum diselamatkan penduduk kampung.

Lebih menyayat hati, kejadian itu berlaku dalam tempoh kurang seminggu sebelum sambutan Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 4:44 PM