Mohamad Hussin


TERKEJUT dan tidak berpuas hati. Itu reaksi diberi peniaga mengenai penutupan laluan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur, kepada semua kenderaan kecuali bas, bermula 15 Mac depan.

Mereka mengakui kesal kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak berbincang dengan peniaga di kawasan itu, sebaliknya hanya berdasarkan kajian yang dijalankan secara talian di laman sosial dengan 57 peratus netizen bersetuju dengan cadangan terbabit.

Peniaga tudung dan aksesori, Najib Hamzah, 25, berkata, dia hanya mengetahui mengenai penutupan jalan berkenaan menerusi laporan media.

“Persetujuan itu hanya mengikut respons daripada pengguna (media sosial), kita nak tengok statistik itu sama ada daripada orang ramai atau peniaga.

“Kita mahu tengok lampiran itu adakah hanya satu pihak saja yang bersetuju. Pengunjung senang nak lalu sini sekiranya mereka nak beli barang dalam kuantiti yang banyak.

“Masalah akan timbul sekiranya kami hendak mengangkut barangan sama ada lori atau kereta kerana terpaksa meletakkan kenderaan lebih jauh,” katanya yang ditemui di Jalan TAR, Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, kesesakan yang berlaku di Jalan TAR adalah normal dan ia hanya berlaku pada waktu puncak sama ada pagi dan petang saja.

“Saya yakin ia akan menimbulkan masalah sekiranya DBKL membenarkan peniaga bazar Ramadan berniaga di sini kerana akan timbul masalah pengurusan sampah.

“Berdasarkan musim perayaan lalu, kawasan tapak bazar lama dipenuhi dengan sampah sarap dan hanya dibersihkan beberapa jam selepas itu,” katanya.

Peniaga buah berangan, Alana Fitra Halim, 25, berkata dia tidak berpuas hati sekiranya DBKL mengambil keputusan memindahkan peniaga di jalan berkenaan kerana mereka sudah bertapak di situ sejak 10 tahun lalu.

Katanya, orang ramai sudah biasa dengan tapak jualan sedia ada dan sekiranya berpindah akan menjejaskan pendapatan.

“Suasana tidak meriah kerana orang ramai sudah mengenali tapak bazar Ramadan yang sering menjadi tumpuan setiap kali musim perayaan,” katanya.

Pengunjung, Asmawi Jaafar, 45, berkata, dia bersetuju dengan cadangan itu kerana tidak perlu lagi bersesak-sesak ketika membeli-belah.

“Setiap tahun saya mengunjungi bazar Ramadan untuk membeli makanan dan pakaian hari raya. Apa yang saya nampak orang ramai bersesak-sesak dalam laluan yang sempit,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan laluan sepanjang Jalan TAR akan ditutup kepada semua kenderaan, kecuali bas, bermula 15 Mac depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dipetik sebagai berkata, jalan sepanjang satu kilometer terbabit meliputi laluan di Kompleks Beli-Belah Sogo, Jalan Esfahan hingga ke Jalan Melayu.

Menurutnya, penutupan jalan itu bertujuan memberi keselesaan kepada orang awam untuk berurusan di kawasan berkenaan yang dijangka menjadi tapak baharu Bazar Ramadan.

“Sekiranya perancangan itu berjalan lancar, pihaknya dapat menempatkan lebih 250 peniaga Bazar Ramadan untuk perayaan akan datang,” katanya.

Berita berkaitan

alan TAR ditutup mulai 15 Mac ini

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 10:09 PM