RUMAH PUTIH. -Foto REUTERS
RUMAH PUTIH. -Foto REUTERS
NYT

WASHINGTON: Seorang lelaki berusia 21 tahun didakwa atas tuduhan merancang serangan terhadap Rumah Putih dengan hasrat meletupkan bangunan itu menggunakan peluru berpandu sebelum menyerbu dengan grenad serta pistol.

Hasher Jallal Taheb didakwa di mahkamah persekutuan di Atlanta, kata Pendakwa George, Byung Pak.

“Niatnya adalah untuk menyerang Rumah Putih dan sasaran lain di Washington DC menggunakan letupan dan peluru berpandu antikereta kebal,” katanya.

Tidak jelas sama ada suspek mempunyai peguam bela.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bertindak atas maklumat diterima pada Mac tahun lalu mendakwa Hasher semakin berhaluan radikal.

Pada 25 Ogos 2018, Hasher mengiklankan untuk menjual kenderaannya sebelum dihubungi ‘pembeli’ yang sebenarnya pemberi maklumat FBI.

Hasher memberitahu ‘pembeli’ itu dia berhasrat melancarkan serangan di AS terhadap sasaran seperti Rumah Putih dan Patung Liberty.

Ejen FBI yang menyamar kemudian menemuinya pada Disember 2018 dan Hasher menyatakan hasrat mahu mati syahid selain meminta ejen berkenaan mendapatkan senjata serta letupan untuk serangan terhadap Rumah Putih.

Hasher ditahan pada 16 Januari lalu apabila menemui seorang lagi ejen yang menyamar kononnya untuk mendapatkan letupan dan senjata lain.

Pihak berkuasa tidak mengenal pasti Hasher sebagai anggota mana-mana kumpulan militan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 6:30 AM