KEADAAN van dan lori yang terjatuh ke dalam gaung di Jalan Tekali, Hulu Langat, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
KEADAAN van dan lori yang terjatuh ke dalam gaung di Jalan Tekali, Hulu Langat, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin


DUA individu termasuk seorang wanita maut selepas van dinaiki terjunam ke dalam gaung di Jalan Tekali, Hulu Langat, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 4.35 petang.

“Seramai enam pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah lori membawa muatan batu yang melanggar sebuah van sebelum kedua-dua menjunam ke dalam gaung sedalam 30 meter,” katanya dalam satu kenyataan media.

Norizham berkata, seorang daripada mangsa yang menaiki van tercampak keluar, manakala seorang lagi mangsa terperosok di dalam van berkenaan yang hancur.

“Ketika anggota tiba, kami mendapati pemandu lori terbabit tiada di lokasi. Difahamkan lelaki berkenaan berjaya menyelamatkan diri dan dilaporkan cedera sebelum dibawa ke hospital berhampiran.

“Kami mengambil masa beberapa minit untuk membawa naik kedua-dua mangsa ke tebing sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 January 2019 @ 8:28 PM