LOKASI kejadian pekebun disyaki terkena tembakan peluru sesat di kawasan kebun buah-buahan di Batu Gajah, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
LOKASI kejadian pekebun disyaki terkena tembakan peluru sesat di kawasan kebun buah-buahan di Batu Gajah, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak


SEORANG pekebun parah dipercayai terkena peluru penabur pemburu haram dalam kejadian di sebuah kebun buah-buahan di Taman Kinta Perdana, berhampiran sebuah kelab golf di Batu Gajah, hari ini.

Mangsa, Muhammad Safwan Abu Jaapan, 20, cedera di bahagian leher disyaki terkena tembakan itu ketika sedang membersihkan kawasan kebun bersama dua rakannya.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 5.45 petang dari Wad Kecemasan, Hospital Batu Gajah.

“Polis dimaklumkan terdapat seorang pemuda disyaki terkena tembakan peluru sesat di leher.

“Hasil siasatan awal mendapati tempat kejadian adalah kawasan kebun buah-buahan berpagar yang diteroka sejak 10 tahun lalu dan terletak berhampiran Sungai Kinta,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, semasa kejadian rakan Muhammad Safwan terdengar bunyi letupan sebelum mendapati mangsa yang berada berhampirannya rebah dengan darah mengalir di bahagian leher.

“Rakannya terus membawa mangsa ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan, dan keadaannya stabil.

“Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk mengeluarkan serpihan disyaki peluru penabur di lehernya yang dapat dilihat melalui ujian X-ray yang dilakukan,” katanya.

Katanya, kejadian disyaki berpunca daripada peluru sesat yang dilepaskan oleh pemburu haram yang sering memburu di kawasan berhampiran.

“Kawasan seberang sungai kira-kira 100 meter dari kebun berkenaan sering dijadikan kawasan berburu ayam hutan dan binatang lain oleh pemburu haram.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 11:33 PM