SHAHRIZAM menunjukkan kesan tembakan pada tubuh badannya.
SHAHRIZAM menunjukkan kesan tembakan pada tubuh badannya.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Taiping: “Biarpun masih hidup, tetapi kehidupan saya tidak tenteram kerana sering mengenangkan tiga peluru yang masih tertanam di dalam kepala,” kata Shahrizam Ibrahim, 35, ketika ditemui di sini, semalam.

Shahrizam terkena tembakan 30 butir peluru penabur senapang patah dilepaskan secara tidak sengaja oleh seorang lelaki kerana menyangka dia seekor beruk di atas pokok yang mahu merosakkan tanaman dalam kejadian di sebuah kebun di Kampung Cherok Berjuang, Pantai Besar, Batu Kurau pada 27 Disember tahun lalu.

Menurutnya, dalam kejadian jam 3 petang itu, dia yang cedera parah terpaksa menerima rawatan selama 10 hari di Hospital Taiping (HT) dan Hospital Pulau Pinang (HPP).

Katanya, doktor hanya berjaya mengeluarkan 27 butir peluru yang terkena pada tubuhnya.

“Ketika di HT, doktor memaklumkan 27 butir peluru penabur yang terkena pada bahagian kiri tubuh seperti pada kaki, dada, tangan dan leher berjaya dikeluarkan, namun saya terkejut apabila doktor memberitahu tiga butir lagi iaitu dua di bahagian mata dan satu di otak masih tertanam di situ dan tidak dapat dikeluarkan.

“Saya kemudian dihantar ke HPP, tetapi selepas hampir lima hari berada di sana, peluru itu masih gagal dikeluarkan sehingga hari ini,” katanya.

Menceritakan kembali kejadian itu, Shahrizam berkata, dia sedang memetik jering di kebun milik rakannya sebelum terdengar bunyi letupan lalu berasa sakit di seluruh badan akibat terkena tembakan selain terdengar suara ‘ya Allah, orang ke, ingatkan beruk’.

“Saya menggagahkan diri turun daripada pokok setinggi hampir lima meter dan merangkak meminta bantuan daripada lelaki terbabit yang saya kenali, namun lelaki itu terus melarikan diri.

“Saya kemudian berlari mendapatkan bantuan sebelum rebah di hadapan sebuah rumah penduduk yang kemudian menghantar saya ke Klinik Kesihatan Batu Kurau sebelum saya dikejarkan ke HT,” katanya.

Shahrizam berkata, walaupun kesihatannya semakin pulih, namun dia merasakan keadilan pada dirinya tidak terbela apabila difahamkan individu yang menembaknya terlepas daripada hukuman.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan yang dibuat Shahrizam dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 9:29 AM