MUHAMMAD Iman ketika pengebumian arwah ibunya di Tanah Perkuburan Sungai Kantan.
MUHAMMAD Iman ketika pengebumian arwah ibunya di Tanah Perkuburan Sungai Kantan.
Suraya Roslan

KUALA LUMPUR: Ketika remaja seusianya gembira memulakan alam persekolahan, Muhammad Iman Danial Zainuddin, 13, pula hanya mampu bersedih kerana kehilangan ibu tercinta dan kini menjadi yatim piatu.

Ibu Danial, Rosidah Mat Salleh, 49, meninggal dunia secara mengejut di kediaman mereka di Taman Kantan Permai, Kajang, dekat sini akibat kencing manis jam 6.30 petang, kelmarin dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, jam 11 pagi semalam.

Danial adalah pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Impian, Kajang dan sepatutnya memulakan persekolahan semalam.

Namun takdir Allah tiada siapa yang tahu, pemergian arwah Rosidah pada hari pertama persekolahan meninggalkan kesan mendalam buat Danial yang sangat rapat dengan ibunya.

Abangnya, Muhammad Iman Zainuddin, 19, berkata, arwah ibunya meninggal dunia dalam keadaan mengejut ketika Danial memandikan arwah di rumah.

“Ketika itu adik memandikan ibu tiba-tiba dia mengadu kepalanya pening. Adik kemudian memanggil nenek dan saya sebelum kami meletakkan arwah di kerusi roda.

“Kami berdua pangku kepala ibu sementara menunggu pasukan perubatan tiba di rumah. Bagaimanapun ibu disahkan meninggal dunia jam 6.30 petang semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Katanya, dia dan adiknya reda dengan kehilangan ibu tercinta walaupun sedih kerana sudah tiada tempat bergantung.

“Saya perlu kuat demi adik, mungkin dia yang paling terasa selepas ibu tiada kerana paling rapat dengan arwah.

“Lebih menyedihkan, sepatutnya hari ini (semalam) mungkin adik teruja untuk bercerita pengalaman pertama memasuki alam persekolahan menengah kepada ibu namun takdir Allah mengatasi segala-galanya,” katanya yang juga penuntut di Kolej Automotif Tekat, Kajang.

Iman berkata, bapa mereka meninggal dunia pada 21 Februari dua tahun lalu akibat penyakit sama.

“Bapa juga pergi dalam keadaan mengejut seperti arwah ibu membuatkan kami sedikit terkejut.

“Tapi kami sudah reda kerana tahu Allah lebih menyayangi arwah ibu, insyaAllah saya akan menjaga adik sebaik-baiknya,” katanya.

Katanya, minggu lalu, arwah ibu sempat menemani adiknya untuk menghadiri minggu orientasi meskipun berkerusi roda.

“Meskipun berkerusi roda arwah ibu tetap bersemangat menemani adik walaupun keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

“Pelbagai perancangan dibuat mereka pada hari pertama persekolahan hari ini (semalam), namun tidak sempat kerana arwah pergi dulu meninggalkan kami,” katanya.

Katanya, selepas berbincang dengan keluarga yang lain, kemungkinan adiknya akan berpindah dan dijaga bapa saudara di Terengganu.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Saujana Impian, Mohd Khairi Mohd Kasim berkata, sebaik mendengar pemergian ibu kepada Danial, mereka segera menubuhkan tabung kecemasan untuk dua beradik berkenaan.

“Tabung prihatin ini hanya aktif untuk dua hari dan Jumaat ini akan diserahkan kepada Iman dan Danial.

“Malah, saya berterima kasih kepada semua ibu bapa pelajar satu tingkatan dengan Danial yang prihatin dan menyumbang segala bentuk bantuan buat dua beradik ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 8:10 AM