Ekhwan Haque Fazlul Haque


Semenyih: "Arwah ada meluahkan rasa rindu dan sempat menziarahi kubur arwah emak," kata Salina Ahmad Dahlan, 47, kakak kepada Suzyla, 40, yang maut dalam kemalangan di Jalan Saujana Impian, Kajang, petang semalam.

Turut maut dalam kejadian sama ialah suami Suzyla iaitu Remyzan Baharudin, 42, manakala dua anak pasangan itu Raiha Syuhaida Remyzan, 13, dan Ra'if Adam Lutfan Remyzan, 7, kini kritikal.

Salina berkata, sebelum kejadian Suzyla bersama keluarga datang ke rumahnya di Jalan Ipoh selepas menziarahi kubur ibu mereka di Jalan Kuching.

Katanya, sepanjang pertemuan Allahyarham adiknya tidak menunjukkan perubahan selain hanya mahu bergegas pulang kerana mahu membuat persediaan sesi persekolahan hari ini.

"Arwah seorang guru manakala suaminya pemandu di Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat sering berkunjung ke rumah saya sebelum ini.

SALINA (kanan) bersama adiknya, Shalyza di rumah arwah adiknya Suzyla yang maut dalam kemalangan di Kajang, semalam. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque
SALINA (kanan) bersama adiknya, Shalyza di rumah arwah adiknya Suzyla yang maut dalam kemalangan di Kajang, semalam. FOTO Ekhwan Haque Fazlul Haque

"Namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka tidak dapat bertemu kerana larangan rentas daerah.

"Dia ada maklumkan lama tidak bertemu dan sempat makan tengah hari bersama sebelum menerima berita mengenai kemalangan," katanya ketika ditemui di Bandar Rinching, hari ini.

Salina berkata, anak saudaranya Ra'if Adam kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur manakala Raihan Syuhaida masih di Hospital Kajang namun masih kritikal.

Katanya, bedah siasat dijangka dijalankan petang ini di Hospital Serdang selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh.

Menurutnya, walaupun masih terkejut namun mereka sekeluarga reda dengan pemergian Suzyla dan Remyzan yang begitu mesra ketika hayatnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, Perodua Bezza dinaiki keluarga itu bertembung dengan sebuah van dari arah bertentangan yang hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan.

Pasangan itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua anaknya kritikal.

Berita berkaitan

Pemandu van akan direman pagi ini

Identiti mangsa kemalangan di Kajang sudah dikenal pasti

Suami isteri maut, dua anak cedera kemalangan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 1:28 PM