PETUGAS keselamatan mengira bungkusan yang mengandungi mayat mangsa tsunami yang dikumpulkan di rumah mayat Carita, Banten.
PETUGAS keselamatan mengira bungkusan yang mengandungi mayat mangsa tsunami yang dikumpulkan di rumah mayat Carita, Banten.

Suraya Roslan, Yusmizal Dolah Aling, Mahaizura Abd Malik dan Syazwan Msar

[email protected]

JAKARTA: Vokalis kumpulan popular Indonesia Seventeen, Riefian Fajarsyah atau Ifan terapung di laut selama dua jam sebelum menyelamatkan diri ke daratan dalam kejadian tsunami yang melanda Selat Sunda, malam kelmarin.

Ketika itu, Ifan bersama kumpulannya baru saja membuat persembahan lagu kedua di Tanjung Lesung Beach Resort, Banten, sebelum gelombang tsunami melanda kira-kira jam 9.30 malam waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia).

“Saya terapung-apung di laut sekitar dua jam. Saya nyaris saja menyerah namun berusaha menggapai kotak untuk berpaut.

“Saya lihat keadaan huru-hara dan dapat berpaut pada satu kotak, saya berusaha lari daripada kerumunan dan selang beberapa minit suasana sepi. Ternyata mereka sudah menjadi mayat,” katanya ketika ditemubual TVOne.

IFAN masih tidak mengetahui nasib isteri yang hilang dalam tragedi tsunami.
IFAN masih tidak mengetahui nasib isteri yang hilang dalam tragedi tsunami.

Ifan berkata, ahli kumpulannya yang lain iaitu gitaris Herman Sikumbang, 36, pengurus pentas band itu, Rukmana Rustam disahkan terkorban manakala pemain dram Windu Andi masih belum ditemui.

“Isteri saya, Dylan Sahara juga masih belum ditemui, minta doa supaya mereka segera ditemui,” katanya.

Seventeen dijemput khas untuk melakukan persembahan di sebuah acara himpunan di Tanjung Lesung Beach Resort.

“Kami baru saja mahu membuat persembahan untuk menghiburkan penonton sebelum tsunami tiba-tiba melanda.

“(Ketika tsunami berlaku) itu lagu kedua, jadi kami baru main lagu kedua, terus kami tidak tahu apa yang terjadi. Tiba-tiba pentas roboh dan atap menimpa kami semua,” katanya.

Menurutnya, selepas diterjah gelombang tsunami, Ifan mengaku tiada apa yang dapat dilakukan kerana arus gelombang yang kuat.

“Saya terus masuk ke dalam air laut yang penuh lumpur, menelan air laut banyak, tergulung-gulung.

“Kaki saya di atas kepala di bawah, besi dan kayu di mana-mana. Banyak yang meninggal dunia patah (tulang),” katanya.

SEORANG wanita menangis ketika membaca senarai mangsa korban dan hilang.
SEORANG wanita menangis ketika membaca senarai mangsa korban dan hilang.

Vokalis berusia 35 tahun itu berkata, selepas berenang ke daratan, dia mencari keluarga dan rakannya.

“Namun, saya menemui pengurus Oki Wijaya dan pemain bass Seventeen, Muhammad Awal Purbani sudah tidak bernyawa.

“Di situ saya juga menemui jenazah Oki dan Bani dalam keadaan tersepit bersama orang ramai. Pentas dibuat di tepi pantai dan banyak yang belum ditemui,” kata Ifan.

Seorang ahli keluarganya dan beberapa pengurusan Seventeen cedera parah.

ORANG ramai mengangkat mayat yang ditemui ke atas pikap.
ORANG ramai mengangkat mayat yang ditemui ke atas pikap.

“Namun, saya bersyukur kerana selamat daripada peristiwa ini, cuma cedera ringan.

“Ada adik saya kakinya patah, operator Seventeen yang tulang rusuknya patah dan pengurus Seventen, Reza, kepalanya robek,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan isterinya yang juga pelakon, Dylan, 25, yang masih hilang, Ifan masih tidak mengetahui keadaan orang tersayang itu.

“Isteriku dengarnya selamat. Ada orang lihat dia (isteri),” katanya.

Dylan menemani Ifan ketika persembahan di Tanjung Lesung Beach Resort sebelum gelombang tinggi melanda lokasi itu.

Namun, Ifan belum pasti keadaan isterinya kerana belum menemuinya.

“Dalam proses pencarian, mudah-mudahan cepat ditemui lokasi isteriku,” katanya.

Satu video memaparkan detik terakhir kumpulan itu sedang mengadakan persembahan sebelum ombak tsunami datang ‘menyapu’ pentas dan penonton menjadi tular di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Disember 2018 @ 9:23 AM