Farah Suhaidah Othman


“NYAWA terakhir.” itu ugutan diterima seorang lelaki bergelar Datuk sebelum cermin hadapan kenderaannya ditembak dua lelaki menaiki motosikal di hadapan sebuah restoran di Taman Meru 2B, Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian pada 6.56 pagi itu, mangsa yang juga pemilik kedai dobi berusia 50 tahun, bagaimanapun terselamat.

Menurut sumber, mangsa dipercayai menerima ugutan pertama pada bulan lalu menerusi surat yang ditulis kepadanya dan antara isi kandungan surat berkenaan meminta wang sebanyak RM3 juta, namun tidak menghiraukan ugutan itu.

“Pagi tadi selepas mangsa solat Subuh di sebuah surau di Taman Meru 2B, mangsa menerima sekeping nota tertera tulisan ‘Nyawa Terakhir’ diselitkan di cermin hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Outlander dinaikinya.

“Mangsa tidak hiraukannya dan terus memandu menuju ke sebuah restoran di Taman Meru 2B berhampiran kedai dobi dimilikinya.

“Ketika mangsa sedang bersarapan dua lelaki menaiki sebuah motosikal menghampiri kenderaan mangsa yang diparkir di hadapan restoran berkenaan sebelum melepaskan satu das tembakan ke cermin hadapan bahagian pemamdu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata ketika mangsa minum di restoran berkenaan, kenderaannya didatangi dua suspek memakai topi keledar gelap dan menaiki motosikal tanpa nombor pendaftaran.

“Seorang daripada suspek bertindak melepaskan tembakan pada cermin hadapan kenderaan terbabit. Mangsa bagaimanapun tidak cedera dan selamat.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.

Sementara itu, pekerja kedai yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 27, berkata mangsa adalah pelanggan tetap di kedai berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, dia ternampak dua lelaki menaiki sebuah motosikal, namun tidak dapat melihat dengan jelas berikutan kedua-duanya memakai topi keledar berpenutup gelap.

“Ketika itu, pelanggan kedai tidak ramai, tidak sampai 10 orang, namun secara tiba-tiba saya terdengar satu das tembakan dilepaskan.

“Dua lelaki itu kemudian melarikan diri dengan menecut laju motosikal dinaiki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 2:55 PM
KESAN tembakan pada cermin hadapan Mitsubishi Outlander milik mangsa di hadapan sebuah restoran di Taman Meru 2B, Ipoh, hari ini. Foto/video EFFENDY RASHID
KESAN tembakan pada cermin hadapan Mitsubishi Outlander milik mangsa di hadapan sebuah restoran di Taman Meru 2B, Ipoh, hari ini. Foto/video EFFENDY RASHID