Rudy Syareme Sheriffudin

 

Georgetown: Seorang peniaga nasi kandar dan pengusaha kedai cuci kereta maut ditembak lima das oleh dua lelaki tidak dikenali di Jalan Datuk Keramat di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu mangsa, Syed Amin Zainul Abidin, 46, yang memandu kereta seorang diri dipercayai singgah di kedai menjual motosikal dan berhenti di tepi jalan sebelum diekori dua lelaki yang menunggang motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zakaria Ahmad berkata, berdasarkan siasatan seorang daripada suspek dikatakan turun dari motosikal lalu melepaskan tujuh das tembakan ke arah kereta mangsa dan mengenai cermin kereta bahagian hadapan pemandu.

Beliau berkata, siasatan mendapati lima das tembakan mengenai tubuh badan mangsa termasuk kepala manakala satu das tembakan tersasar.

Katanya, suspek dikatakan cuba melepaskan satu das tembakan ke arah dua anggota Rela yang bertugas menjaga kedai motor sempena cuti sambutan Tahun Baru Cina tetapi tidak mengenai mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Februari 2016 @ 8:59 AM