ISA KHAN
ISA KHAN
Ramlah Zainal


Bersandarkan pakej lengkap, bertubuh sasa dan berdarah kacukan Cina-Pakistan ternyata membawa tuah buat penyanyi dan pelakon meningkat naik, Isa Khan menempa nama di persada hiburan tanah air.

Malah, adik pelakon terkenal Miller Khan ini antara bakat baru yang semakin mencuri perhatian peminat ketika ini.

Dalam tempoh singkat, Isa juga sudah membintangi pelbagai telefilem dan drama bersiri seperti Mak Cun Pi Lombok, Transit Terakhir, Formula Cinta, Bimbi Bonni Misi 007, Inai Yang Hilang dan drama bersiri 20 episod Rahasia Kasih untuk saluran ntv7.

Namun, pemilik nama sebenar Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, 25, ini mengakui dia kini lebih selektif dengan watak ditawarkan.

“Saya berlakon kerana minat dan mahu mengembangkan bakat seni sedia ada.

“Antara watak yang saya suka adalah dalam drama bersiri 20 episod Rahasia Kasih yang sudah pun bersiaran di saluran ntv7 baru-baru ini.

“Saya juga menghadiri sesi uji bakat sebelum diberi kepercayaan berlakon watak utama sebagai Najmi dalam drama itu.

“Ia julung kali saya melakonkan watak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) muda dalam cerita drama urban yang sarat dengan konflik keluarga,” katanya.

Dalam drama bersiri arahan Jamal Khan itu, Isa bergandingan dengan barisan pelakon seperti Nadia Brian, Syida Melvin, Catriona Ross dan Wilma Muhamad.

“Ia kali pertama saya melakonkan watak hero dalam drama bersiri dan apa yang mencabar, saya perlu menjiwai perubahan karakter Najmi sebagai anak di rumah dan CEO muda syarikat di pejabat.

“Alhamdulillah, drama ini mendapat sambutan positif daripada penonton sekali gus mengukuhkan nama dalam bidang lakonan,” katanya.

Selepas drama bersiri Rahasia Kasih, Isa kini terbabit dengan penggambaran drama bersiri Slot Samarinda di TV3, Cinta Tanpa Henti bergandingan dengan Ariel Zafrel dan Siti Elizad.

Ditanya watak diimpikan pula, kata Isa dia mahu melakonkan watak lebih mencabar kemampuannya dalam lakonan.

“Antaranya, watak penagih dadah, terbabit dalam kes pelacuran dan sebagainya.

“Namun, watak dalam drama agak terbatas sebab itu saya menanti peluang untuk beraksi dalam filem genre aksi pada masa depan,” katanya.

ISA ketika hadir di mahkamah. FOTO Asyraf Hamzah
ISA ketika hadir di mahkamah. FOTO Asyraf Hamzah

Tidak gentar dengan BBNU

Walaupun sibuk berlakon, jiwa bekas peserta Akademi Fantasia 2016 ini tetap sebati dengan bidang nyanyian.

Selepas mempertaruhkan single pertama berjudul Syurga Yang Sempurna di bawah label Music Valley Malaysia (MVM), Isa merancang muncul dengan single kedua pula tidak lama lagi.

Sebelum ini, single pertamanya yang juga ciptaan Room None dan lirik oleh Isa sendiri berkonsep pop balada.

“Sebenarnya, saya agak kecewa dengan sambutan peminat pada single pertama kerana kurang promosi.

“Maklumlah, saya sibuk berlakon ketika itu dan kurang mempromosikan single terbabit,” katanya.

Mengenai single kedua itu, kata Isa, dia merancang menghasilkan genre rock dan balada.

“Saya mahu dikenali sebagai penyanyi ballad dan antara komposer yang saya mahu bekerjasama untuk single kedua ini ialah Asfan dan SirKhan,” katanya.

Ditanya saingan pula, Isa juga tidak gentar bersaing dengan kumpulan bakat baru yang mencetuskan fenomena dan digelar Budak-Budak Baru Nak Up (BBBNU) yang mewarnai bidang muzik tanah air ketika ini.

“Saya yakin dengan bakat dan pengalaman menyanyi.

“Walaupun dikenali sebagai penyanyi solo, saya juga memiliki band sendiri iaitu Mambang yang turut mengiringi persembahan di pentas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 6:00 AM