PELAKON, Syida Melvin. FOTO Mahzir Mat Isa
PELAKON, Syida Melvin. FOTO Mahzir Mat Isa
Ramlah Zainal


BAKATNYA mula digilap dalam bidang lakonan menerusi telefilem sempena Aidilfitri, Dodol Untuk Menantu terbitan Zeel Production setahun yang lalu.

Selepas telefilem itu, nama pendatang baru Syida Melvin, 21, terus mencuri perhatian penerbit dan pengarah drama serta telefilem tempatan.

Setakat ini, adik kepada pelakon Syatilla Melvin ini sudah berlakon dalam empat drama termasuk yang belum ditayangkan lagi. Antaranya Cinta Yang Ku Rasa untuk saluran RTM bergandingan dengan Izara Aisyah dan drama bersiri 20 episod Rahasia Kasih yang kini bersiaran di saluran ntv7.

“Sebelum ini, saya sering menemani kakak ke lokasi penggambaran drama. Ketika itu saya baru berusia 16 dan 17 tahun. Lama kelamaan minat dalam bidang lakonan itu datang dengan sendirinya.

“Justeru, saya memberanikan diri menghadiri sesi uji bakat lakonan sempena penganjuran Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) tahun lalu.

“Di situlah bakat saya dihidu penerbit drama Fadzil Teh seterusnya dilamar untuk berlakon dalam telefilem Dodol, sekali gus penampilan pertama dalam drama untuk saluran RTM,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman pertama berlakon pula, Syida mengakui dia turut gementar ketika berlakon dalam telefilem itu. Pada mulanya, saya memang kekok dan malu-malu depan kamera, tapi lama-kelamaan sudah boleh menyesuaikan diri. Sebagai pelakon baru, saya puas apabila menonton lakonan dalam drama itu,” katanya.

Bercerita lakonannya dalam drama terbarunya Rahasia Kasih yang kini bersiaran di saluran ntv7, Syida berkata, dia menimba pengalaman berharga berlakon dalam drama yang kini bersiaran di saluran ntv7 itu.

Dalam drama bersiri 20 episod arahan Jamal Khan itu, Syida bergandingan dengan pelakon seperti Isa Khan, Nadia Brian, Catriona Ross dan Wilma Muhamad.

“Saya melakonkan watak Adibah yang lemah lembut dan tidak boleh melupakan bekas kekasihnya. Pengarah banyak membantu saya menjiwai watak dalam drama ini. Sebagai pelakon baru, saya akui masih banyak kelemahan dalam lakonan dari segi dialog, bahasa tubuh dan penampilan,” katanya yang masih menuntut dalam jurusan pemasaran di institut pengajian tinggi tempatan. Ditanya mengenai watak pula, Syida yang mengagumi pelakon dan pengarah berkaliber Elly Suriaty mahu watak yang ada kelainan, sekali gus mencabar kemampuan dalam lakonan.

“Saya mahu melakonkan watak antagonis pula selepas ini. Setakat ini, rata-rata watak baik yang ditawarkan. Saya juga memanfaatkan ilmu lakonan yang pernah dipelajari ketika mengikuti kelas lakonan bersama Fauziah Ahmad Daud awal tahun ini. “Saya juga tidak mahu dikenali sebagai pelakon yang menjual paras rupa tapi lakonan pula kayu dan tidak memberi impak pada penonton,” katanya.

Bagaimanapun, Syida yang sudah tampil dengan imej berhijab sejak lima tahun lalu tidak meletakkan syarat menolak babak bersentuhan dalam drama pada pihak produksi.

“Setakat ini, penerbit dan pengarah drama cukup memahami dengan imej saya yang berhijab ini. Kalau ada babak bersentuhan pun kena ada alas yang menghalangnya,” katanya.

Sibuk buat persiapan kahwin

Buat masa ini, Syida terpaksa menolak tawaran berlakon kerana memberi laluan persiapan majlis perkahwinannya dengan Mohamad Syafiq Azim Shaheen, 29, yang bakal berlangsung Januari tahun depan.

“Kami berkawan setahun sebelum hubungan menjadi serius untuk melangkah fasa perkahwinan.

“Saya juga terfikir bagaimana mahu membahagikan masa antara pelajaran, lakonan dan peralihan status sebagai isteri nanti. Namun, saya percaya soal jodoh ketentuan Allah dan sudah bersedia untuk berkahwin pada usia muda.

“Bakal suami juga cukup memahami dan memberi sokongan untuk saya meneruskan karier seni selepas berkahwin nanti,” katanya.

Mengulas mengenai majlis pernikahan, kata Syida, ia bakal berlangsung di kediaman keluarganya secara sederhana di Pulau Pinang.

“Majlis di sebelah pihak lelaki bakal berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Pada majlis itu, saya bakal menggayakan busana sentuhan pereka terkenal Rizman Ruzaini,” katanya.

Syida berkata, dia akan meneruskan karier lakonan selepas berkahwin nanti.

“Saya bertuah kerana bakal suami menyokong minat dalam bidang seni sejak dulu. Apa yang penting, saya sentiasa ingat nasihat ibu supaya bijak membahagikan masa antara karier seni dan rumah tangga selepas berkahwin nanti,” katanya.

Syida dan Mohamad Syafiq mengikat tali pertunangan dalam majlis ringkas pada 18 Jun lalu.

Mohamad Syafiq adalah anak lelaki Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd yang juga usahawan terkenal yang mendapat jolokan Iron Lady, Allahyarham Datuk Maznah Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 November 2018 @ 6:00 AM