FOTO Nor Farizan Abdull Rahman
FOTO Nor Farizan Abdull Rahman
Mohd Azam Shah Yaacob dan jurugambar Nor Farizan Abdull Rahman

[email protected].

Afrin, Syria: “Saya tidak mahu balik. Rumah kami sudah hancur kena bom. Ada yang mati, saya takut,” kata Du’ana Ahmad, 6, seorang daripada kanak-kanak di negara ini yang melihat serangan pemberontak bersenjata di kawasan tempat tinggalnya di Ghoutah, tahun lalu.

Du’ana adalah ribuan penduduk Ghoutah yang kini berlindung di Afrin, salah satu wilayah bebas daripada ancaman perang dan berada dalam kawalan keselamatan tentera Turki.

Malah, dia antara ribuan atau mungkin jutaan kanak-kanak Syria yang menderita serta trauma akibat perang saudara di negara ini.

Ketika mula-mula dihampiri wartawan untuk ditemubual, kanak-kanak itu takut dan cuba melarikan diri.

Kami dimaklumkan yang kebanyakan kanak-kanak Syria trauma apabila melihat orang asing terutama lelaki kerana bimbang diculik, ditembak atau dibunuh.

Jadi, apabila melihat kelibat atau ditegur orang asing, biarpun di khalayak ramai, mereka takut.

Malah, kanak-kanak itu turut takut apabila ditanya sama ada dia ingin pulang semula ke tempat tinggalnya di Ghoutah kerana bimbang dihantar pulang ke sana.

“Tidak...Saya sudah gembira berada di sini. Di sini selamat dan ada ramai kawan.

“Di sini juga saya dapat bersekolah,” katanya yang kini menyertai kelas mengaji di Afrin bersama kanak-kanak senasib dengannya.

Turut berkongsi kisah sama adalah Khadeeja Hallaf, 7, yang melarikan diri dari Ghoutah ketika serangan pemberontak tahun lalu.

Khadeeja berkata, biarpun terselamat, detik serangan itu masih bermain di fikirannya.

“Memang takut. Saya berada di luar rumah dengan rakan-rakan pada waktu itu.

“Tiba-tiba kawasan kami tinggal bergegar dengan letupan dan bunyi tembakan. Mereka ramai dan datang dengan menaiki kereta,” katanya.

Menurut Khadeeja, antara perkara paling diingati apabila mendengar puluhan atau mungkin ratusan bom meletup berselang-seli di kawasan tempat tinggalnya.

“Banyak rumah rosak dan penuh dengan asap hitam.

“Bunyi sangat menakutkan dan kami lari masuk ke rumah untuk bersembunyi,” katanya.

Khadeeja berkata, selepas tiga hari serangan berlaku, dia bersama bapa, ibu serta dua abang dan kakak dapat melarikan diri keluar dari Ghoutah dengan menaiki kereta seterusnya ke Afrin.

“Di sini (Afrin) lebih baik, tiada bunyi tembakan atau letupan.

“Saya gembira di sini dan tidak akan pulang ke sana (Ghoutah),” katanya.

PELARIAN hidup dalam keadaan amat daif sekali. FOTO Nor Farizan Abdull Rahman
PELARIAN hidup dalam keadaan amat daif sekali. FOTO Nor Farizan Abdull Rahman

‘Malaysia negara Islam contoh’

Malaysia negara Islam contoh dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad antara pemimpin Islam terbaik di dunia.

Itu antara pujian diberikan Gabenor Wilayah Afrin, Said Suleiman sebaik wartawan Harian Metro bersama petugas misi kemanusiaan Syria Care diketuai Pengerusinya, Siti Sakinah Meor Omar Baki menjadi tetamu selepas dibenarkan masuk ke wilayah berkenaan bagi menjalankan agihan pakaian serta barang keperluan sempena misi Bantuan Musim Sejuk Syria Care 7.0.

Katanya, mereka turut berbesar hati dan mengalu-alukan kedatangan petugas misi Syria Care yang sanggup membantu mengurangkan beban penduduk di sini.

“Dalam dunia sekarang, ada dua negara Islam contoh...Malaysia dan Turki.

“Mahathir Mohamad pemimpin terbaik, dikenali di dunia Arab dan sejak dulu mengambil tahu urusan orang Islam di Syria,” katanya ketika ditemui dalam pertemuan bersama Mufti Afrin, Said Shanun di pejabatnya di sini, semalam.

BANDAR Afrin. FOTO Nor Farizan Abdull Rahman
BANDAR Afrin. FOTO Nor Farizan Abdull Rahman

Said Suleiman berkata, mereka berharap dapat belajar daripada Malaysia dalam banyak bidang dan berfikir untuk menjalin kerjasama dengan Syria Care khususnya dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Siti Sakinah berkata, dia cukup terharu apabila dibenarkan masuk ke wilayah yang baru saja dibebaskan oleh tentera Turki daripada penguasaan pemberontak Kurdish.

Katanya, sepanjang penubuhan Syria Care pada 2012, ia lokasi paling jauh mereka dibenarkan masuk bagi menjalankan misi kemanusiaan di Syria.

“Alhamdulillah, pertama kali Syria Care dibenarkan masuk bagi membantu meringankan beban penduduk di sini.

“Malah, menerusi misi hari ini (semalam), Syria Care mengagihkan sebanyak 5,284 barang keperluan musim sejuk seperti jaket, topi, selimut, sarung tangan, kasut but, stokin dan beg,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 10:01 AM