SUSU tepung untuk kanak-kanak Syria selamat diagihkan di Aleppo dan Adnan City.
SUSU tepung untuk kanak-kanak Syria selamat diagihkan di Aleppo dan Adnan City.
Intan Mas Ayu Shahimi


Pertemuan singkat dengan wanita ini minggu lalu meninggalkan tanda ingatan yang cukup dalam. Senyum manisnya, lembut tutur kata dan tinggi nilai perikemanusiaan yang ditunjukkan terhadap penderitaan rakyat Syria benar-benar memaut perhatian.

Terlihat jelas sifat keibuan dalam diri Siti Sakinah Meor Omar Baki. Jiwa murninya memberontak untuk terus memperjuangkan nasib wanita dan kanak-kanak di Syria. Sekalipun menggalas tanggungjawab besar di rumah sebagai isteri, ibu dan nenek, wanita ini tetap kental berusaha mencukupkan segala keperluan saudara Muslimnya yang terdera di bumi sendiri.

Kalau boleh, wanita ini mahu membawa ‘dunia’ baru untuk didiami masyarakat Syria. Derita anak kecil yang kehilangan anggota dan nyawa menjadi azimat kepada dirinya terus berdiri di tengah-tengah kesibukan manusia, mengaut sebanyak mungkin dana ikhlas bagi meringankan derita mereka yang teraniaya.

Tanggungjawab besar sebagai Pengerusi Syria Care digalas bersungguh-sungguh. Biarpun pernah terfikir untuk mengalah, namun pelbagai keajaiban yang disaksikan sepanjang berkhidmat membawa kembali dirinya ke dunia realiti.

SITI Sakinah.
SITI Sakinah.

“Kalau orang bertanya kenapa saya buat (misi kemanusiaan), memang susah menjawabnya. Cumanya, mungkin begini. Ramai yang memerlukan bantuan, tidak kira sama ada rakyat tempatan, pelarian Rohingya atau sesiapa saja. Tapi Allah SWT sentuhkan hati saya untuk membantu orang Syria.

“Isu ini terlalu dekat di hati sejak zaman saya belajar lagi. Saya jatuh cinta dengan Syria walaupun belum pernah ke sana. Saya boleh menonton satu video penderitaan rakyat negara itu berkali-kali dan menangis. Sehinggalah saya bertanya kembali kepada diri, kalau setakat menangis dan kasihan, adakah itu membantu mereka? Adakah itu mampu memanaskan tubuh kecil yang kesejukan di bumi Syria? Adakah tangisan saya itu mengenyangkan perut mereka atau membantu mereka melalui satu lagi tempoh sukar? Sudah tentu jawapannya, tidak.

“Dari situlah saya nekad melakukan sesuatu dalam kapasiti dan kemampuan diri. Dalam keterbatasan waktu dan tanggungjawab, saya berusaha sebaik mungkin mengadakan sesuatu untuk mereka di sana. Malah sebelum menyertai Syria Care, saya mula mengumpul dana sendiri melalui rakan Facebook (FB).

SITI Sakinah ketika pelancaran Kempen Bantuan Musim Sejuk 5.0.
SITI Sakinah ketika pelancaran Kempen Bantuan Musim Sejuk 5.0.

“Kebetulan saya hanya duduk di rumah, tidak bekerja dan menjaga ibu mentua yang strok ketika itu, jadi banyak berhubung dengan ramai kenalan yang pemurah di Facebook. Saya kongsikan berita, kumpul sumbangan dan salurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja. Saya percaya, walau kita tidak ada duit sekalipun, masih boleh membantu kerana Allah SWT akan menilai diri kita daripada usaha yang kita lakukan, bukan pada hasilnya,” katanya.

Kolaborasi tujuh NGO

Bercerita mengenai perjuangan membantu meringankan beban rakyat negara bergolak berkenaan, Siti Sakinah dengan rendah diri mengakui beliau hanya memainkan watak kecil dalam Syria Care.

“Kami di sini berusaha mendapatkan dana dan menguruskan sumbangan, sebaliknya tujuh NGO di sana adalah hero sebenar. Kami bekerja rapat dengan Tawasso Charity Organisation (Latakia), Ulfah Human Relief (Selatan Damsyik), Al-Ahbab Human Institution (Idlib), Sam Serif Dernegi (Homs), Al Sham Humanitarian Reconstrucion Foundation (Timur Ghoutah), Khair For Relief Western Gota (Barat Ghoutah) dan Resalat Al-Sham Humanitarian Association (Timur Ghoutah).

“Mereka yang bersabung nyawa mengagihkan bantuan dan sumbangan kewangan yang kami salurkan kepada rakyat. Malah, sepanjang misi kemanusiaan dijalankan, ada antara ahli NGO ini terkorban di tengah jalan. Kerjasama mereka inilah yang menghubungkan kami dengan masyarakat Syria.

“Alhamdulillah, setakat ini semua bantuan kita sampai tepat pada sasaran. Segalanya lancar dan dipermudahkan. Setiap kali NGO di sana mengagihkan keperluan kepada golongan memerlukan, mereka akan mengambil gambar berserta video untuk direkodkan,” katanya.

BERSAMA wakil NGO pada pelancaran misi kemanusiaan Kempen Bantuan Musim Sejuk Syria.
BERSAMA wakil NGO pada pelancaran misi kemanusiaan Kempen Bantuan Musim Sejuk Syria.

Selain NGO, Siti Sakinah berkata, mustahil untuk pihaknya bergerak tanpa adanya sumbangan dana daripada mereka yang prihatin. Keluhuran hati ramai rakyat negara ini selalu mencukupkan banyak keperluan dalam satu-satu masa.

“Kerap kali saya tertekan apabila memikirkan jumlah sumbangan yang masih tidak mencukupi untuk musim akan datang. Duit terhad, permintaan banyak, tapi apa yang boleh saya lakukan?

“Apabila tiba situasi begini, kesihatan paling mudah terjejas. Tapi sekali lagi, saya akan ingatkan diri, ‘Sakinah, berhentilah menjadi ‘tuhan’...kerja kamu adalah mempelbagaikan usaha dan selebihnya adalah Allah SWT uruskan’.

“Kenapa saya kata begitu? Banyak kali, khususnya dalam bulan puasa, saya pernah keluarkan RM600,000 dan meninggalkan wang baki empat hingga lima ribu saja dalam akaun. Orang akan kata itu kerja gila dan tak ada orang yang akan buat begitu.

“Tetapi, dengan kuasa Allah SWT, apabila saya pergi lagi ke bank, saya lihat duit ada lagi. Usah hairan datang dari mana kerana itulah kuasa Allah. Dia yang yang menggerakkan hati orang untuk menyumbang. Perkara seumpama ini jugalah yang menjadi penguat semangat untuk saya,” katanya.

Derita musim sejuk

Kali ini Siti Sakinah berdepan kekusutan lagi. Musim sejuk di bumi Syria bukan situasi main-main. Rumah tanpa dinding, anak tidak berbaju sempurna, putus sumber makanan, tiada keperluan asas, semua ini menjerut perasaan. Ligat seketika fikirannya memikirkan di mana lagi wang hendak dicari.

Rawan hatinya apabila ada syarikat yang dulunya bermurah hati menghulur simpati, namun tiba-tiba bisu. Puas wanita ini mengintai setiap sudut, mencari kalau ada yang silap sepanjang berurusan dengan entiti yang pernah memberi.

“Saya bimbang memikirkan betapa hebatnya derita yang bakal tiba, menguji masyarakat di Syria buat kesekian kali. Bayangkan, kalau kita masuk ke taman tema bersalji sekalipun, kita akan dibekalkan dengan jaket. Tanpa jaket, kita mungkin sukar bertahan walaupun hanya untuk beberapa minit. Namun musim sejuk bukanlah satu keadaan yang kita boleh hidup atau matikan suisnya.

“Ia akan bermula apabila tiba musimnya dan suhu akan menjadi semakin menggerunkan. Dalam keadaan mereka yang tiada sebarang persediaan, mana mungkin anak kecil mampu bertahan? Kita di sini duduk dalam rumah yang sempurna, beratap dan berdinding, sebaliknya mereka di sana tinggal dalam sisa runtuhan rumah dan khemah nipis. Mereka berumah di atas ais dan menerima hukum alam ini dengan reda.

SENYUMAN terukir sebaik menerima bantuan makanan daripada sukarelawan Syria Care.
SENYUMAN terukir sebaik menerima bantuan makanan daripada sukarelawan Syria Care.

“Di beberapa daerah termasuk Timur Ghoutah sebelum ini pernah mencatatkan kematian bayi akibat kesejukan melampau. Sukar untuk saya berikan gambaran jelas. Saya sendiri tidak mampu membayangkan suasana ketika itu. Suhu negatif, segalanya begitu mudah membeku.

“Saya teringat betapa pilunya seorang bapa tahun lalu yang kehilangan anak kecil di tengah salji. Apabila melihat anaknya semakin pucat, dia angkat dan berlari mendapatkan bantuan. Namun, belum pun sempat tiba, anaknya sudah terkulai dalam dakapan. Bayangkan kalau kita di tempat mereka, memangku anak kesayangan. Sukar saya hendak terjemahkan perasaan itu,” katanya sebak.

Enggan perkara sama berulang, Siti Sakinah nekad mengumpul jumlah sumbangan lebih tinggi menerusi Kempen Bantuan Musim Sejuk 5.0 (BMS5.0) tahun ini. Beliau mahu mengutip sekurang-kurangnya RM4 juta untuk diagihkan kepada rakyat Syria sepanjang musim sejuk.

“Sumbangan besar diperlukan untuk kita membantu mengedarkan pakaian, keperluan asas, bekalan makanan, pemanas, kayu api serta gas di beberapa lokasi termasuk Latakia, Barat Iblib, Timur Ghoutah, Timur Idlib, Selatan Damsyik, Homs dan Aleppo.

“Kami jangkakan seramai 4,600 keluarga akan mendapat manfaat daripada bantuan yang akan disalurkan nanti menerusi rakan kerjasama NGO di sana,” katanya.

Bantuan untuk wanita

Menyebut mengenai nasib wanita Syria, Siti Sakinah berkata, bantuan kepada anak yatim sebenarnya banyak meringankan beban mereka, khususnya ibu kepada anak terbabit.

“Sebelum ini kami pernah hantar tuala wanita, tapi itu bukanlah keutamaan kita. Kalau boleh memang semua yang kita nikmati di sini, hendak kami sampaikan kepada mereka di sama. Tapi kita perlu melihat kepada gambaran yang lebih besar. Paling penting adalah sokongan untuk terus hidup, tajaan kepada anak yatim dan pendidikan mereka.

“Penajaan anak yatim dan dana pendidikan ini sebenarnya secara tidak langsung membantu wanita menjaga anak mereka. Sekurang-kurangnya mereka tidak perlu berfikir dan mencari jalan bagaimana untuk mengenyangkan perut anak di rumah.

AGIHAN juadah berbuka puasa di pinggiran Aleppo.
AGIHAN juadah berbuka puasa di pinggiran Aleppo.

“Kalau dulu, ada ibu yang terpaksa memilih, mulut anak yang mana hendak disuapkan makanan. Mereka terpaksa mengagih sebaik mungkin untuk kelangsungan hidup.

“Selain itu, kita juga mahu tingkatkan kuantiti susu formula untuk kanak-kanak dan bayi di sana. Mei lalu kami sudah hantar 9,000 tin dengan nilai mencecah lebih RM300,000 untuk satu kontena. Kami beri mereka susu formula terbaik memandangkan kanak-kanak di sana sangat memerlukan

nutrien lengkap. Ini juga membantu ramai ibu yang tidak dapat menyusukan bayi. Diharap lebih ramai yang menyalurkan sumbangan kepada Syria Care untuk musim sejuk ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 9:50 AM