Wartawan NSTP


SIASATAN polis mendapati peguam kepada pemaju One City Development Sdn Bhd memberi upah RM150,000 kepada 50 lelaki untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Isnin lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dua peguam terbabit antara 21 orang yang sudah ditahan polis bagi membantu siasatan insiden rusuhan berkenaan.

“Sejumlah RM150,000 diserah kepada ketua kumpulan ini yang mana setiap orang diberi upah antara RM150 hingga RM300.

“Tindakan menceroboh yang amat tidak bertanggungjawab ini menimbulkan kemarahan penganut sehingga timbulkan kekecohan dan kerosakan harta benda.

“Kita kesal dengan tindakan cuai diambil pemaju, sekiranya tindakan gopoh ini tidak diambil, saya yakin kekecohan tidak berlaku,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Ditanya sama ada wang upah berkenaan diberi oleh pemaju, Muhyiddin berkata, andaian awal kita tidak menolak peruntukan itu diberikan oleh pemaju kepada peguam berkenaan.

Dalam kejadian pada 26 November lalu , 23 kenderaan musnah dibakar, manakala cermin sebuah pusat beli-belah turut dipecah dan dirosakkan.

Akibat kejadian rusuhan itu, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya yang diserang perusuh berada di dalam keadaan kritikal.

One City Development Sdn Bhd adalah pemaju yang memiliki tanah kuil berkenaan.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 November 2018 @ 1:10 PM