EASTON (gambar kecil) ditemui terbaring dalam galur antara rumah dan garaj. - Daily Mail
EASTON (gambar kecil) ditemui terbaring dalam galur antara rumah dan garaj. - Daily Mail
Agensi

ENGLAND: Seorang warga emas berusia 102 tahun nyata masih panjang umur apabila berjaya diselamatkan dari bumbung rumahnya selepas terperangkap tiga malam susulan tergelincir ketika membetulkan antena televisyennya.

Ron Easton yang juga bekas pelumba kereta ditemui terbaring dalam galur di atas bumbungnya selepas jirannya Trish Bagley merasakan sesuatu tidak kena apabila melihat susu yang dihantar ke rumahnya selama dua hari tidak dibawa masuk dalam kejadian di Bigbury-on-Sea, Devon, lapor Daily Mail.

Trish yang menghantar surat khabar dan susu ke rumah Easton setiap hari memberitahu BBC, dia bimbang apabila tiada jawapan ketika dia mengetuk pintu beberapa kali serta cuba menghubungi jirannya itu melalui telefon.

“Saya terfikir, mungkin dia masih tidur tetapi kerana rasa tidak sedap hati, saya memutuskan meminta seseorang membantu mencarinya.

“Amat pelik bagi saya apabila bekalan susu Isnin dan Selasa masih berada di luar rumahnya,” katanya.

Dia kemudian meminta bantuan seorang rakan yang juga pekerja rencam yang menemui Easton di atas bumbung rumah berkenaan.

“Rupanya tangga digunakan Easton untuk memanjat bumbung agak tersorok jadi memang tidak dapat dilihat dengan mata kasar,” katanya.

Paramedik, Nigel Toms berkata: “Kami menemuinya terbaring dalam galur antara rumahnya dengan garaj.

“Keadaannya dalam bahaya, memang dia amat bernasib baik,” katanya.

Sementara itu, bomba berkata berdasarkan penelitian mereka, Easton dijangka terperangkap atas bumbungnya selama tiga malam sejak Ahad.

Dia dibawa ke hospital menaiki helikopter dan kini dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 5:01 AM