ELYANA.
ELYANA.
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI Elyana diserang angin hingga mengalami muntah teruk selepas menjalani rawatan radioterapi, semalam.

Elyana, 31, atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal berkata, ia berkemungkinan disebabkan ubat tahan sakit yang diambil sebelum menjalani prosedur rawatan itu.

“Ini pertama kali seumur hidup saya buat radioterapi. Bagi saya, rawatan ini lagi okey jika dibandingkan dengan kimoterapi.

“Namun, apa yang jadi masalah semalam adalah, sebelum buat radioterapi saya ada makan ubat tahan sakit. Kesan ubat itu pula sangat kuat. Kaki masih sakit dan tidak boleh lurus. Jadi sewaktu buat radioterapi, saya tak boleh bergerak.

“Selepas radioterapi angin menyerang dan muntah teruk hingga lembik badan. Mungkin ia kesan daripada pengambilan ubat tahan sakit itu. Selepas makan ubat tahan muntah, baru okey,” katanya.

Bagaimanapun Elyana yang berkongsi perkara itu menerusi rakaman video di Instagram Story berkata, radioterapi yang dibuat berjalan lancar.

“Saya mula buat rawatan ini pada 5 petang. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar selama 45 minit. Ketika rawatan, muka saya ditutup supaya tidak terkena bahagian sensitif. Mereka juga ada buat tanda pada bahagian tulang belakang,” katanya.

Semalam Harian Metro melaporkan, kanser limfoma tahap empat yang dihidapi Elyana sejak tujuh tahun lalu sudah merebak ke saraf tunjang.

Elyana yang kini dirawat di pusat perubatan di Subang Jaya, Selangor itu perlu segera menjalani prosedur itu bagi mengelakkan lumpuh.

Menurut suami Elyana iaitu Khairul Anuar Hussin, penyanyi dan pelakon itu perlu melakukan 10 kali rawatan radioterapi.

Berita berkaitan

Kanser Elyana merebak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Oktober 2018 @ 9:12 AM