Elyana memaklumkan dirinya kini bebas dan pulih daripada kanser limfoma yang dihidapi sejak 11 tahun lalu.
Elyana memaklumkan dirinya kini bebas dan pulih daripada kanser limfoma yang dihidapi sejak 11 tahun lalu.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Elyana memaklumkan dirinya kini bebas dan pulih daripada kanser limfoma yang dihidapi sejak 11 tahun lalu.

Elyana berkongsi berita gembira itu menerusi satu hantaran di Instagram awal pagi, hari ini.

"Assalamualaikum rakan dan keluarga di Instagram. Hari ini saya ingin berkongsi rasa gembira dan bersyukur dengan anda semua.

"Perjuangan dan penantian selama 11 tahun saya berhasil. Kanser saya hilang. Alhamdulillah Ya Allah.… Terima kasih Ya Allah, Kau telah mendengar doa kami," katanya.

Menurut Elyana, dia sentiasa menunggu detik bahagia ini selain tidak putus berdoa agar dirinya kembali sihat.

"Tak dapat saya gambarkan perasaan gembira saya. Terlalu lama tak dapat rasa gembira ada tubuh yang sihat.

"Saya pernah putus asa untuk berjuang. Saya selalu cemburu dengan kesihatan orang, tapi saya sangat percaya dengan keajaiban daripada Sang Pencipta. Allah maha baik. I Love You Allah," katanya.

Semalam, Elyana berkongsi beberapa video Instagram Story dia menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Elyana menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 11 tahun lalu dan dia hanya membuat pendedahan mengenai penyakitnya itu pada 2017.

Kanser berkenaan turut menyerang dan merebak ke beberapa organ badannya seperti rahim, hati dan pangkal paha.

Pada Jun lalu, Elyana turut menjalani rawatan radioterapi.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Elyana bagi mendapatkan pengesahan lanjut daripadanya tidak berjaya apabila Elyana tidak menjawab panggilan dan membalas mesej WhatsApp.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Disember 2021 @ 9:54 AM