DUA lelaki warga Afrika yang ditahan untuk siasatan dalam operasi di daerah Nana di Bangkok, Thailand baru-baru ini. - AFP
DUA lelaki warga Afrika yang ditahan untuk siasatan dalam operasi di daerah Nana di Bangkok, Thailand baru-baru ini. - AFP
AFP

BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand meningkatkan operasi menahan warga asing terutamanya orang kulit hitam kerana ramai terbabit dalam jenayah di negara itu termasuk berkaitan dadah dan penipuan.

Operasi yang dikenali sebagai ‘X-Ray Outlaw Foreigner’ itu dilancarkan pada tahun lalu dan selepas dipertingkatkan baru-baru ini, polis menahan lebih 1,000 warga asing yang majoritinya berkulit hitam.

Pihak berkuasa turut menolak tanggapan operasi itu menggunakan pendekatan berasaskan perkauman kerana mensasarkan ‘orang berkulit gelap’, menyebabkan pihak tertentu bimbang golongan mencari perlindungan atau suaka akan turut ditahan.

“Tugas kami ialah menetapkan siapa orang berkulit gelap yang baik dan siapa yang mungkin melakukan jenayah,” kata Ketua Biro Imigresen, Surachate Hakparn.

Tegasnya, operasi itu bertujuan mengenal pasti mereka yang berada di Thailand melebihi tempoh visa dan menahan penjenayah khususnya penipuan cinta dengan menggoda penduduk tempatan yang kesunyian sebelum memperdaya dan mengambil wang mangsa.

Surachate memberitahu, mereka yang terbabit dengan penipuan itu biasanya berasal dari Nigeria atau Uganda.

Awal bulan ini, pada permulaan operasi waktu malam di daerah Nana, 75 anggota polis berdiri mendengar taklimat.

“Sasaran disyaki ialah orang berkulit gelap. Pertama, kita periksa badan mereka kemudian pasport,” kata seorang pegawai.

Tidak lama selepas itu, mereka menahan beberapa suspek termasuk tiga orang dari Mali bagi menjalani ujian saringan air kencing.

Selepas operasi itu tamat, hampir 30 individu, separuh daripada mereka berkulit hitam ditahan berkaitan dadah dan hanya seorang saja berkulit putih iaitu warga Perancis yang didapati positif ganja.

Surachate berkata, Thailand menjadi tempat tinggal lebih 6,000 orang yang sepatutnya telah pulang ke negara asal.

“Bagi benar-benar membersihkan semula keadaan, kami perlu juga menahan orang yang baik bagi mengesan orang yang melakukan jenayah dan menghantar mereka pulang supaya kestabilan negara ini kekal,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 6:30 AM