PENGACARA TV, Sherry Al Hadad. FOTO Joe Quek Photography
PENGACARA TV, Sherry Al Hadad. FOTO Joe Quek Photography
Sudirman Mohd Tahir


JIKA dulu mereka yang ingin menjadi pengacara TV perlu berwajah cantik, kurus dan tinggi lampai, Sherry Al Hadad membuktikan rupa paras serta saiz badan bukan keutamaan untuk mencipta kejayaan di pentas hiburan tempatan.

Populariti diraih Sherry, 33, atau nama sebenarnya Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad sekali gus menutup mulut dan memadam stigma segelintir pihak yang pernah menafikan bakat sebenar figura berbakat besar ini.

Menganggap apa yang dilalui sekarang sebagai roda kehidupan, Sherry bagaimanapun tidak mahu mendabik dada.

Sebaliknya, dia ingin terus melangkah ke hadapan dengan memberikan magis tersendiri setiap kali mengendalikan sesebuah program atau acara.

Bagi Sherry, apa yang penting adalah dia sudah berjaya mendapatkan kepercayaan penonton mengenai kemampuan dirinya.

“Diakui pada awal kemunculan saya memang teruk kena kecam. Orang cakap kenapa tidak ambil pengacara lain yang lebih cantik? Pendek kata, saya selalu dilemparkan dengan kata-kata yang menjurus kepada bentul fizikal.

“Namun begitu, saya terima semua itu tanpa membalas satu patah perkataan pun. Saya okey dan masih boleh tersenyum lagi. Dalam hati, untuk orang terima memang susah. Apatah lagi saya jenis yang malas ambil kisah kerana tidak boleh jangka apa yang orang suka atau tidak.

“Namun, saya tolak tepi semua itu dengan buat saja kerja diberikan. Saya jadi diri sendiri. Alhamdulillah, segala-galanya berubah secara perlahan-lahan. Lama-kelamaan orang semakin percayakan bakat saya. Malah, mereka mula sukakan saya,” katanya.

Menurut Sherry, peluang itu juga perlu diberikan kepada orang lain yang turut mempertaruhkan bakat berbanding rupa.

Sherry berkata, sudah sampai masanya industri hiburan tempatan berubah ke arah lebih positif tanpa mendiskriminasi mana-mana pihak.

“Jika orang boleh lupakan saiz badan saya ketika berada di pentas, perkara sama juga mereka perlu buat untuk orang lain. Tidak kisah sama ada dia penyanyi, pelakon, pelawak atau pengacara. Seharusnya dari dulu lagi perlu berlandaskan bakat.

“Bukan maksud saya rupa paras tidak penting kerana perkara ini sangat subjektif. Cuma, apa saya ingin perkatakan adalah sesiapa saja boleh jadi anak seni jika berbakat. Jika memang berbakat, saya percaya tiada siapa yang boleh menidakkan perkara ini.

“Jadi, semua pihak perlu berubah. Kalau boleh beri peluang kepada mereka yang betul-betul berbakat walaupun tidak ada rupa,” katanya.

Berkongsi pengalamannya, Sherry yang mula mendapat perhatian selepas muncul sebagai pengacara selingan pada Anugerah Skrin 2013 bersama Zulin Aziz berkata, ibunya juga pernah skeptikal mengenai keputusannya untuk terbabit dalam bidang

seni.

“Masa mula-mula dulu mak saya pun macam orang lain. Mak kata, orang takkan terima saya sebab saiz badan dan rupa paras. Mak kata lagi, masyarakat kita suka tengok orang yang cantik dan kacak saja.

“Ternyata apa yang diperkatakan memang benar. Itulah situasi yang saya lalui sepanjang terbabit dalam bidang ini. Malah saya pernah luahkan kesedihan kepada mak mengenai perkara ini,” katanya.

Kurang tawaran berlakon

Sebelum laris sebagai pengacara, Sherry yang juga pengacara Muzik Muzik 32 kerap muncul dalam drama. Namun, kini semuanya berubah apabila tawaran berlakon kurang.

“Saya masih nak berlakon tetapi tawaran kurang. Kalau ada pun tidak kena dengan jadual kerja. Lagi satu, watak yang ditawarkan sama saja iaitu komedi. Kalau boleh saya nak juga bawa watak lain seperti antagonis atau psiko.

“Bagaimanapun, susah sebab orang label saya sebagai pelawak. Kalau saya buat serius pun orang akan tergelak.

“Alhamdulillah, sekarang tawaran menjadi hos pula lebih banyak. Apa yang bagusnya jadi hos adalah saya belajar banyak perkara termasuk hal ehwal semasa. Bukannya main cakap saja. Dalam erti kata lain, menjadi pengacara kena berilmu,” katanya yang kali terakhir berlakon menerusi drama Misteri Wan Peah dan filem Bikin Filem.

Selain itu, Sherry juga bakal muncul dalam filem Gol & Gincu Volume 2 dan program Sherry Show musim ketiga.

Pada masa sama, Sherry memasang impian bergandingan dan bekerjasama dengan pengacara hebat, Datuk Aznil Nawawi.

“Saya teringin bekerja dengan Pak Nil (Aznil). Kami selalu jumpa tapi tidak bekerjasama. Apabila saya melihat dia mengacara program AF Mega Star, perasaan kagum dan teruja saya masih sama ketika menonton AF yang dulu.

“Saya berasakan dia masih relevan dalam bidang ini. Kalau dia hos seorang diri pun boleh. Pak Nil juga pernah berkata kepada saya iaitu perjalanan kami hampir sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 6:30 AM