Suraya Roslan


KEBIASAANNYA pemergian insan tersayang akan diiringi dengan tangisan dan perasaan kehilangan.

Namun lain pula dengan ketabahan yang ditunjukkan pasangan ini apabila kelihatan tersenyum ketika memangku jenazah anak perempuannya.

Pasangan ini reda dengan ujian dan menerima qada qadar ditetapkan Allah SWT apabila kelihatan tenang ketika melepaskan zuriat tunggal pergi mengadap Ilahi.

Aminur Fathi Saharudin, 30, berkata arwah anaknya Auliya Amani, dipinjamkan Allah kepada mereka selama 14 bulan sembilan hari saja.

“Arwah dilahirkan normal dengan berat 2.65 kilogram pada 14 Julai tahun lalu, memang gembira kerana kami menunggu hampir dua tahun untuk dapatkan Auliya.

“Tapi pada 23 September lalu kira-kira jam 4.30 petang, arwah dijemput menghadap penciptanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, arwah meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak dipercayai akibat masalah jantung.

“Ketika usia Auliya tiga bulan, saya kesan ada benjolan kecil sebesar biji guli di bawah ketiak kirinya, berikutan itu saya bawa dia ke Hospital Sungai Buloh, untuk berjumpa pakar. Namun pakar memaklumkan benjolan itu tidak beri sebarang kesan pada arwah.

“Tapi kerana curiga saya jumpa pakar pemakanan yang kemudian cadangkan arwah menjalani ujian darah dan air kencing. Mengikut jangkaan laporan itu akan diperoleh pada 28 September (semalam), tapi arwah meninggal dunia lebih awal,” katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu berat badan arwah juga tidak berkembang sama seperti bayi seusianya yang lain.

Katanya, pakar memaklumkan bayinya berkemungkinan besar menghidap masalah jantung berikutan kuku, bibir dan lidah yang kebiruan ketika meninggal dunia.

Ditanya mengenai gambar dia bersama suami Amizudin Ahmat, 49, tersenyum ketika memangku jenazah bayi mereka seperti yang tular di media sosial Aminur Fathi berkata, mereka sebenarnya mahu mendidik masyarakat agar tidak meratapi kematian.

“Usah gundah gulana jika anak syurga kembali ke Rahmatullah, sepatutnya kita perlu bersyukur sebab Allah SWT pilih kita untuk jaga anak syurga biarpun tak lama.

“Alhamdulillah, Allah SWT beri kekuatan kepada kami untuk urus jenazah dengan tenang dan reda dengan pemergian anak syurga kami,” katanya.

Sementara itu, Amizudin berkata, setiap individu Muslim perlu yakin kepada qada dan qadar ditentukan Allah SWT.

“Bukan untuk berbangga atau riak, sejujurnya bukan mudah untuk melalui ujian ini kerana anak syurga kami kembali ke Rahmatullah dengan sekelip mata.

“Malah, saya berkali-kali pujuk isteri, kena reda walaupun bukan mudah tetapi akhirnya dia jadi kuat. Kami hanya insan biasa yang dipilih Allah untuk menjaga anak syurga ini walaupun sekejap saja,” katanya. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 11:11 PM
AMIZUDIN dan Aminur reda dengan pemergian satu-satunya anak mereka, Auliya Amani. FOTO ihsan Amizudin Ahmat
AMIZUDIN dan Aminur reda dengan pemergian satu-satunya anak mereka, Auliya Amani. FOTO ihsan Amizudin Ahmat