Ahmad Johari Mohd Ali

AHLI Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini.

Abdul Azeez tiba dengan menaiki kereta Proton Preve warna Silver Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 10.30 pagi.

Beliau yang diiringi pegawai SPRM dibawa ke Aras 2 turut ditemani keluarga dan sekumpulan penyokong yang melaungkan 'Hidup BN.

Turut dibawa ke mahkamah sama, ialah abang dan saudara beliau.

Azeez, 52, yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO ditahan jam 11.15 pagi semalam selepas hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan kes menerima rasuah di ibu pejabat SPRM.

Abangnya, Abdul Latif yang juga pengurus besar sebuah syarikat ditahan di Sungai Buloh, 15 minit, selepas itu.

Sumber memberitahu BH, kedua-duanya difahamkan ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 10:59 AM