ABDUL Azeez ketika tiba di Ibu Pejabat SPRM. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
ABDUL Azeez ketika tiba di Ibu Pejabat SPRM. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Mohd Husni Mohd Noor


AHLI Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Datuk Abdul Latif Abdul Rahim ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang ini berhubung kes rasuah dan penggubahan wang haram.

Kedua-dua mereka ditahan kira-kira 4.30 petang selepas hadir memberi keterangan berhubung kes berkenaan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya sudah mendapat izin untuk mendakwa kedua-dua mereka daripada Pejabat Peguam Negara.

“Susulan itu, kedua-duanya akan dituduh 9 pagi esok di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.

Terdahulu, Abdul Azeez dan Abdul Latif tiba di Ibu Pejabat SPRM kira-kira jam 2.55 petang untuk dirakam keterangan.

Abdul Azeez yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dilihat tiba dengan menaiki kereta jenis Proton Perdana.

Sebelum ini, Abdul Azeez pernah dipanggil memberi keterangan oleh SPRM berhubung siasatan kes tender projek kerajaan.

Malah, pada 15 September lalu, SPRM menahan Abdul Azeez dan abangnya serta seorang pengarah syarikat berhubung dakwaan penerimaan rasuah daripada sebuah syarikat kontraktor bagi satu projek Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Berita berkaitan

'Abdul Azeez dipanggil ke SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 January 2019 @ 6:02 PM