Mahaizura Abd Malik


MENUNGGANG motosikal Yamaha RXZ dengan melakukan aksi ‘wheelie’ dan ‘wekang’ untuk ke masjid menjadi pendekatan dakwah unik dilakukan Mohd Al-Amirul Ashshahid Mohd Saleh, 33, bagi mengajak generasi muda sepertinya mengimarahkan rumah Allah.

Ahli Jawatankuasa Masjid Ar-Rahmah Kampung Sungai Buaya, Rawang, Selangor itu berkata, video berkenaan dirakam rakannya pada Khamis lalu sebelum dimuat naik ke laman Instagram miliknya dua hari kemudian.

Menurut pemenang tempat ketiga Supermoto FIM Asia 2016 itu, dia mengambil peluang berkenaan bagi mengajak anak muda terutama mereka yang terbabit dalam dunia permotoran ke arah kebaikan.

“Kebiasaannya bila cakap bab agama, kalau kita guna cara biasa contohnya ajak-ajak pakai mulut saja, pasti tak jalan, malah hendak dapat 10,000 ‘views’ (tontonan) pun payah.

“Jadi, saya ambil pendekatan berbeza ini untuk menarik minat anak muda terutama mat motor sambil tengok video itu secara tak langsung mereka sedar mesej yang hendak saya sampaikan.

“Saya mahu mat motor jangan lupa diri dalam sibuk dengan aktiviti masing-masing, mereka juga tidak harus lupa tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah,” katanya.

Katanya, setakat hari ini video berdurasi seminit itu meraih hampir 300,000 tontonan dan menerima pelbagai reaksi.

“Dalam video itu saya menunggang motosikal dengan aksi wheelie dan wekang lengkap dengan kopiah menuju ke masjid.

“Saya tahu aksi itu memang berbahaya, tetapi ia cuma sebagai salah satu cara berdakwah terutama kepada mat motor.

“Alhamdulillah ramai menyokong usaha saya ini, namun ada juga sebilangan kecil mengecam, tetapi yang penting mesej yang dibawa itu dapat disampaikan kepada orang ramai,” katanya.

Pada masa sama, lelaki terbabit turut menasihati orang ramai supaya tidak meniru lagak ngeri yang dilakukan itu sebaliknya mengambil perkara berkenaan daripada sudut positif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 9:59 PM
AKSI Mohd Al-Amirul Ashshahid menunggang dan meletak motosikal di pekarangan Masjid Ar-Rahmah, Kampung Sungai Buaya, Rawang.
AKSI Mohd Al-Amirul Ashshahid menunggang dan meletak motosikal di pekarangan Masjid Ar-Rahmah, Kampung Sungai Buaya, Rawang.