RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian letupan gas di Taman Perindustrian Puchong, Puchong, hari ini. FOTO ihsan pembaca
RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan kejadian letupan gas di Taman Perindustrian Puchong, Puchong, hari ini. FOTO ihsan pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Puchong: "Saya sempat melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah menjerit meminta tolong," kata saksi kejadian letupan gas di Taman Perindustrian Puchong, di sini, hari ini.

Menceritakan kejadian itu, saksi yang mahu dikenali sebagai Chen, 40-an, berkata, semasa kejadian berlaku, dia terdengar bunyi dentuman kuat seakan bom serta jeritan mangsa meminta tolong.

"Apabila saya lihat di luar, terdapat api dan ada beberapa pekerja keluar dari kilang terbabit sambil meminta tolong.

"Saya juga ada lihat mereka yang terselamat tetapi keadaannya teruk. Kaki dia seakan terkena sesuatu dan hancur," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Chen berkata, pemilik kilang itu turut berada di lokasi kejadian namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Di kilang itu, semua pekerja warga asing dan saya difahamkan ada antara mereka yang maut. Saya terkejut dengan kejadian ini dan tidak menyangka ia berlaku," katanya.

Seorang lagi saksi dikenali sebagai Liew, 30-an berkata, dia tidak menyangka bunyi kuat semasa berada kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian mengorbankan dua nyawa.

Menurutnya, dia melihat kepulan asap tebal keluar dari kilang itu sebelum terdengar dentuman kuat yang mengakibatkan beberapa keping atap di premis berkenaan pecah.

"Ada serpihan atap daripada kilang itu terpelanting sehingga ke hadapan stor yang saya jaga.

"Kereta kawan saya juga retak mungkin terkena serpihan keras akibat letupan di kilang itu," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan dua individu meninggal dunia, manakala dua lagi cedera dalam kejadian letupan gas 'acetylene' di sebuah premis di Taman Perindustrian Puchong Utama, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 4:46 PM