NICOLE di mahkamah sebelum dijatuhkan hukuman. Gambar kecil, Natalie.- Daily Mail
NICOLE di mahkamah sebelum dijatuhkan hukuman. Gambar kecil, Natalie.- Daily Mail
Daily Mail

Iowa (Amerika Syarikat): Seorang wanita berusia 43 tahun dipenjara seumur hidup kerana menyebabkan anak angkatnya mati kebuluran.

Susulan kisah tragik itu, satu imej menyayat hati menunjukkan keadaan mayat Natalie Finn, 16, dengan badannya dipenuhi darah dan kesan calar yang dibiarkan kebuluran oleh ibu angkatnya, Nicole Finn.

Terdapat juga imej nota tulisan tangan yang ditulis mangsa berbunyi: “Tidak dapat buka tingkap, ibu memakunya!”

Nicole didapati bersalah bulan lalu kerana membunuh dan tiga tuduhan menculik bertujuan mengurung dua beradik Natalie yang lain.

Pihak berkuasa berkata, Natalie hanya seberat 38 kilogram apabila dia meninggal dunia pada Oktober 2016.

Dia ditemui terbaring di atas lantai rumahnya memakai lampin dewasa. Badannya pula dipenuhi kesan luka dan hampir tiada lemak atau otot, lapor akhbar Des Moines Register.

Menurut pakar, dua beradiknya yang lain, Mikayla, 14, dan Jaden, 15, juga berisiko mati kebuluran dan mengambil beberapa bulan untuk sembuh selepas Natalie mengalami serangan jantung.

Mikayla memberi keterangan di mahkamah yang dia terpaksa meminum air dari tandas kerana terlalu dahaga.

Hakim Karen Romano menyifatkan tindakan Nicole sebagai tidak boleh dimaafkan dan mengarahkannya tidak berhubung dengan empat lagi anak angkatnya itu.

“Mahkamah tidak dapat membayangkan trauma yang dilalui kanak-kanak ini,” kata Karen.

Sementara itu, bekas suami Nicole, Joe Finn II, mengaku tidak bersalah menculik, mengabaikan dan membahayakan kanak-kanak berkenaan.

Dia tidak tinggal bersama keluarga itu selepas kematian Natalie. Perbicaraannya dijadualkan dimulakan 30 April nanti.

Sewaktu perbicaraan, pendakwa raya menggambarkan Nicole lebih menyayangi kucing dan anjing daripada anak angkatnya.

Ibu beranak lima itu mengurung tiga anak angkatnya di dalam bilik tidur yang kotor tanpa perabot dan tidak membenarkan mereka keluar untuk makan atau pergi ke bilik air selama beberapa bulan, sehingga ada suatu masa mereka terpaksa memanjat keluar tingkap untuk merayu makanan daripada jiran.

Jiran dan pihak sekolah kemudian melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa kebajikan kanak-kanak.

Selepas mendapat perintah mahkamah dan melawat rumah berkenaan, pegawai perlindungan kanak-kanak enggan mengambil mangsa dan adik-beradiknya menyebabkan dia kemudian dipecat selepas diasak dengan pertanyaan dari Jabatan Perkhidmatan Manusia dan Pejabat Ombudsman Iowa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 10:33 AM