MOHAMMAD Aliff Rayyan disahkan menghidap austime tahap ringan ketika berusia lima tahun. FOTO Ihsan Mohammad Amin Idris
MOHAMMAD Aliff Rayyan disahkan menghidap austime tahap ringan ketika berusia lima tahun. FOTO Ihsan Mohammad Amin Idris
Redzuan Muharam

Balik Pulau: Istimewanya Mohammad Aliff Rayyan Mohammad Amin, 6, yang mesra disapa Aliff ialah dia boleh memahami empat bahasa walaupun berstatus orang kurang upaya kategori autisme tahap ringan.

Bermula dengan bahasa Melayu dan Inggeris, Aliff kemudian dapat pendedahan asas Mandarin.

Terbaru, bapanya, Mohammad Amin Idris, 32, menyedari kebolehan Aliff menulis dan menyebut 33 abjad dalam bahasa Rusia selain mengingati nama model kereta negara berkenaan.

Mohammad Amin yang bekerja sebagai juruteknik berkata, dia sendiri terkejut melihat perkembangan Aliff kerana tidak pernah mengajar atau memberi pendedahan secara formal kepada anak sulungnya itu.

"Saya dan isteri berkomunikasi dengan Aliff dalam bahasa Melayu dan kadangkala Inggeris.

"Tapi permulaannya dulu, Aliff guna bahasa Inggeris sebelum tukar kepada Melayu manakala dia tahu asas Mandarin selepas dihantar ke sebuah tadika waktu umurnya empat tahun.

"Aliff sempat belajar di situ selama tiga bulan saja kerana tidak boleh ke sekolah selepas itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

"Tahun lalu, dia masuk semula ke sekolah tadika swasta dan belajar macam biasa. Cuma baru-baru ini, Aliff tunjuk kebolehan barunya iaitu sebut serta tulis perkataan dalam bahasa Rusia," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

MOHAMMAD Aliff Rayyan boleh memahami empat bahasa. FOTO Ihsan Mohammad Amin Idris
MOHAMMAD Aliff Rayyan boleh memahami empat bahasa. FOTO Ihsan Mohammad Amin Idris

Menurutnya, anaknya turut memintanya menulis huruf dan pada awalnya, dia tidak tahu itu adalah abjad dalam bahasa Rusia.

"Selepas buat semakan dengan tonton video di Youtube, baru saya tahu itu adalah abjad Rusia.

"Sebelum ini, saya pernah dengar Aliff sebut (abjad Rusia) dan ingatkan dia pelat dan cakap merapu, rupanya itu bahasa Rusia.

"Saya rasa dia belajar daripada tonton video di Youtube kerana memang ada beri dia guna peranti elektronik tetapi dengan pemantauan.

"Setakat ini, saya nampak Aliff obses sangat dengan kereta kerana boleh hafal model kenderaan dalam dan luar negara," katanya.

Berkongsi perihal Aliff, Mohammad Amin berkata, dia menyedari simptom awal dihadapi anaknya itu seperti lambat bercakap ketika usianya 18 bulan.

"Waktu itu, saya hantar Aliff ke rumah pengasuh dan bila panggil namanya, dia tak menyahut, jadi saya mula berasa ada tak kena kerana sebelum itu, ada seorang jururuwat beritahu kemungkinan Aliff lambat bertutur atau hidap autisme.

"Saya pun mula cari maklumat dan kemudian baru tahu apa itu autisme dan waktu Aliff berumur 19 bulan, saya bersama isteri sepakat jumpa pakar.

"Bertitik tolak daripada situ, saya ikut saranan bawa Aliff jalani terapi pertuturan dan cara kerja dengan konsisten sehingga kini. Alhamdulillah, saya dan isteri mula nampak hasilnya," katanya.

MOHAMMAD Aliff Rayyan bersama keluarga. FOTO Ihsan Mohammad Amin Idris
MOHAMMAD Aliff Rayyan bersama keluarga. FOTO Ihsan Mohammad Amin Idris

Mohammad Amin berkata, sejak awal lagi dia sudah tanamkan dalam diri untuk menerima hakikat yang Aliff adalah anak syurga.

"Jadi, kepada ibu bapa yang senasib, jangan malu kerana anak autisme ini ada keistimewaan tersendiri.

"Memang pernah ada orang persoalkan kenapa saya bawa Aliff keluar namun kita semua berkongsi di dunia yang sama.

"Anak autisme pun berhak bahagia dan sebagai bapa, saya akan terus cuba jaga amanah Allah ini dengan sebaiknya," katanya.

Ibu bapa main peranan corak cara, medium komunikasi anak

Pendedahan awal boleh membantu perkembangan intelektual anak istimewa termasuk orang kurang upaya kategori autisme untuk belajar hingga boleh bertutur dengan lancar dalam sesuatu bahasa.

Demikian pandangan Pengarah Pusat GENIUS@Pintar Negara (PGPN), Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Rorlinda Yusof ketika diminta mengulas mengenai kelebihan anak istimewa yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dan lain-lain.

Rorlinda mengakui ada kanak-kanak istimewa diberi kelebihan dan anugerah Allah SWT daripada segi tahap intelektual yang tinggi namun peranan keluarga di peringkat awal amat penting dalam membantu mencungkil dan menyuburkan potensi golongan berkenaan.

Menurutnya, ia boleh dilakukan dengan memberi galakan dan pendedahan awal menerusi bahan bacaan dan media yang sesuai untuk kanak-kanak.

DR Rorlinda. FOTO Arkib NSTP
DR Rorlinda. FOTO Arkib NSTP

"Seandainya anak istimewa itu dapat pendedahan, bimbingan dan rangsangan awal daripada keluarga dan juga masyarakat sekitar, memang mereka boleh bertutur bahasa Inggeris dan lain-lain malah (prosesnya) lebih mudah.

"Ia kerana jika dari awal didedahkan, kanak-kanak itu boleh cepat menangkap istilah bahasa berkenaan, cuma ada juga yang sememangnya dianugerahkan Ilahi dengan kelebihan berkenaan dan mereka cenderung pada kepintaran bahasa itu.

"Apa pun daripada pengalaman saya berinteraksi dengan anak pintar yang memiliki ciri-ciri autisme ini apabila ditanya, mereka beritahu kurang bergaul dengan rakan ketika kanak-kanak dan sangat suka meneroka maklumat, jadi lazimnya mereka akan teroka sendiri.

"Kebanyakan bahan bacaan, video dan permainan video pula dalam bahasa Inggeris, jadi ia boleh merangsang minda anak pintar istimewa ini, malah mempengaruhi slang mereka ketika bercakap," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Meskipun begitu, Rorlinda mengesyorkan ibu bapa memainkan peranan dalam mencorak cara dan medium komunikasi anak kerana ia beri kesan kepada jangka panjang khususnya dalam aspek kemahiran bersosial serta komunikasi.

"Perkara ini (kecenderungan bahasa) perlu dilihat serius kerana kita perlu bersifat glokal iaitu mempunyai ciri-ciri global dan tempatan.

"Sebagai contoh, jika bapanya bertutur dalam bahasa Inggeris, sebaiknya ibu bercakap dalam bahasa Melayu yang sempurna.

"Ini kerana kita perlu sedar bahawa kita adalah orang Malaysia, sejauh mana pun kita terbang ke luar negara, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, lambang perpaduan yang boleh menyatukan kita semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 12:01 PM