ABDULLAH Sani menunjukkan kesan pembedahan yang dilalui anak perempuannya, Nur Syafa Arianna sambil diperhatikan isterinya, Siti Khadijah Latifah Muhd Yusop.
ABDULLAH Sani menunjukkan kesan pembedahan yang dilalui anak perempuannya, Nur Syafa Arianna sambil diperhatikan isterinya, Siti Khadijah Latifah Muhd Yusop.
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Hati ibu bapa mana tidak sedih mengenangkan nasib menimpa anak mereka yang menderita menghidap kanser otak tahap empat sejak setahun lalu.

Abdullah Sani Hassan, 41, dan isteri, Siti Khadijah Latifah Muhd Yusop, 39, mengakui semangat mereka pernah hilang selepas Nur Syafa Arianna yang kini berusia empat tahun disahkan menghidap penyakit berkenaan dan perlu menjalani beberapa pembedahan.

Abdullah Sani berkata, anak keempat daripada lima beradik itu dikesan menghidap penyakit itu ketika menyambut ulang tahun kelahiran yang ketiga.

“Ketika itu, isteri saya tengah pantang anak bongsu dan ia membuatkan semangat saya hilang kerana tidak sangka dengan berita diterima.

“Namun, atas kekuatan yang diberikan isteri, saya tidak mengalah dan berusaha membolehkan anak kami sembuh seperti biasa,” katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Taman Sri Indah di sini, semalam.

Dia berkata, Nur Syafa Ariana yang lebih mesra disapa dengan panggilan ‘Manja’ dalam kalangan keluarga mengalami muntah secara berterusan ketika penyakitnya baru hendak dikesan.

“Manja kerap muntah dan saya terus bawanya ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan, tetapi doktor mengatakan tidak ada apa-apa, tetapi apabila tidak hilang juga saya membawanya sekali lagi ke hospital sama dan ketika itu keadaannya sudah lain sebelum dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Ketika pemeriksaan di HSJ, terdapat ketumbuhan di kepala Manja dan doktor terus memindahkannya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menjalani pembedahan,” katanya.

Abdullah Sani berkata, anak perempuannya itu sudah menjalani dua pembedahan iaitu memasukkan paip saluran pernafasan serta membuang ketumbuhan dan kini perlu berulang-alik ke hospital setiap bulan untuk menjalani rawatan kimoterapi.

“Syukur, Manja kuat dan dia cuba melawan penyakit yang dihidapinya walaupun sakit bertarung nyawa.

“Sebagai bapa, saya terkejut dengan semangatnya itu dan meminta doa orang ramai untuk mendoakan anak saya diberi kesembuhan,” katanya.

Menurutnya, bantuan wang tunai diharapkan, tetapi doa dengan meminta anaknya diberi kesembuhan begitu penting bagi keluarganya.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa membantu apabila mengetahui masalah yang dihadapi keluarga saya termasuk juga majikan tempat saya bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Julai 2018 @ 9:59 AM