Amirul Haswendy Ashari


SELEPAS menimbulkan isu mendakwa diri mengalami kemurungan, kemudian dinafikannya pada rakaman Hot FM Live, kelmarin, Ridzuan Haqiem Rusli, 20, atau Haqiem Rusli, akhirnya mendedahkan berkemungkinan mempunyai 'mild depression' sahaja.

Perkara itu didedahkan Haqiem pada sidang media tergempar di sebuah restoran terkemuka di ibu kota, hari ini.

Pun begitu, dia akui masalah itu hanya andaiannya sahaja kerana belum bertemu pakar psikiatri untuk mendapatkan pengesahan.

“Saya rasa ada 'mild depresion', itu pun selepas bertanya dengan beberapa rakan yang pernah mengalaminya.

“Untuk betul-betul mengesahkan, saya mahu bertemu dengan pakar berkaitan pada esok," katanya.

Pada masa sama, remaja itu turut memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan tindakannya yang dianggap tidak matang dan degil, sebelum ini.

Pada sidang media ini, dia turut memohon maaf kepada penyanyi Ernie Zakry dan Wany Hasrita yang turut hadir menjelaskan situasi yang berlaku antara mereka.

Dia akui apa yang berlaku bukan salah mana-mana pihak tetapi kerana kelemahannya sendiri.

Katanya, dia sepatutnya berbincang dengan pihak pengurusan, FMC Music sahaja.

Katanya lagi, setiap manusia melakukan kesilapan dan pastinya mahukan peluang kedua.

“Saya sedang popular, masih muda dan mentah, agak terbeban dengan gaya kehidupan yang dilalui seharian.

“Saya tertekan dan sebagai remaja biasa tapi sekarang menjadi tumpuan ramai, ia agak canggung dan kekok sama ada mahu jadi diri sendiri atau tidak," katanya.

Dia akui memang pernah tiga kali terfikir untuk berhenti menyanyi tetapi selepas berbincang dengan keluarga dan pihak syarikat dek implikasi negatif yang akan muncul, dia teruskan juga.

Dia berpendapat adalah satu kerugian seandainya tidak meneruskan perjuangan di dalam bidang muzik.

“Kelemahan saya adalah tidak fikir dan isu ini boleh jadi sekeruh ini sehingga menyebabkan ramai marah dan menganggap ia satu gimik.

“Ini bukan gimik, terpulang kepada semua nak tafsirkannya sebab sejujurnya saya memang ada 'mild depression'," katanya menangis.

Dia turut mengesahkan sudah mengalami masalah insomnia, kerja berlebihan dan penurunan berat badan sejak setahun lalu.

Haqiem turut memohon semua peminatnya agar berhenti menghentam media dan artis lain yang mengkritik tindakan luar jangkanya sejak isu ini timbul.

Dalam pada itu, pihak FMC tidak menafikan mereka sememangnya mengambil kesempatan ke atas situasi yang melanda Haqiem.

Wakil syarikat, Sam Samin, berkata mereka beranggapan isu yang melanda ini adalah sebahagian daripada promosi artis mereka.

Imbas kembali, penyanyi dikenali melalui Tergantung Sepi ini pernah meluahkan mengalami kemurungan dan merancang untuk berhenti menyanyi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 10:48 PM