ELIZAD.
ELIZAD.
Ramlah Zainal

Jika ramai artis bimbang nama dan populariti merudum selepas berkahwin, pelakon jelita Elizad lain pula kisahnya.

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama bersiri Teman Lelaki Upahan dan Syurga Yang Kedua ini terus mendapat kepercayaan pengarah serta penerbit drama meskipun ada ramai bakat baru ketika ini.

Malah, Elizad juga nampaknya tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon sampai sekarang.

Secara peribadi, pemilik nama sebenar Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 34, ini mengakui sangat bersyukur dengan apa yang dikecapinya kini.

“Alhamdulillah, karier seni berjalan lancar seperti direncanakan.

“Namun, masih banyak watak yang mahu saya jayakan selepas ini sekali gus mencabar prestasi persembahan sedia ada.

“Antara watak impian saya adalah psiko dan jahat yang mengundang kebencian penonton,” katanya.

Selepas cuti raya selama dua minggu, Elizad kembali ke lokasi penggambaran drama dan program hiburan yang dijadualkan.

Antaranya, dia baru selesai menyiapkan baki penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Dian untuk saluran ntv7.

“Saya tertarik untuk menerima naskhah ini kerana ia ada kelainan dan memaparkan jatuh bangun dalam kehidupan.

“Saya melakonkan watak banduan bernama Dian. Ini percubaan pertama saya memegang watak banduan dan dapat merasai sendiri pengalaman berada dalam sel penjara,” katanya.

Mengenai gandingan dengan Qi Razali selaku hero pula, kata Elizad, dia selesa bekerjasama dengan pelakon itu.

“Qi pelakon yang berkaliber dan boleh membawa wataknya dengan baik.

“Pengarah pula sangat kreatif, bagus dan boleh bertolak ansur dengan barisan pelakon.

“Pengarah turut memberikan kebebasan kepada saya untuk melakonkan watak Dian dan tidak terikat dengan skrip,” katanya.

Selain Elizad, drama itu turut dibintangi Yasmin Hani, Fazlina Ahmad Daud, Adrea Abdullah, Aleeza Kasim dan Iman Corinne Adrienne.

Menyusul selepas ini, Elizad akan terbabit dengan program ExpeRIAnce yang membabitkan penggambaran di Jepun, minggu depan.

“Saya memang teruja dan tidak sabar untuk terbabit dalam program ini kerana ia mendekatkan hubungan dengan peminat.

“Bagi saya, Jepun negara yang patut dikunjungi kerana selain maju, budaya mereka sangat unik dan amat mementingkan aspek disiplin dalam kehidupan,” katanya.

Selepas kembali dari Jepun pula, Elizad akan terbabit dengan program Super Spontan untuk saluran Astro.

“Ia adalah program yang dinantikan kerana memaparkan sisi lain saya dalam program komedi. Semoga peminat terhibur,”katanya.

Mengulas perkembangan karier nyanyiannya, Elizad berkata, selepas muncul dengan single Haiyaya, dia tiada perancangan menghasilkan lagu baru lagi.

“Walaupun tiada single baru, saya tetap gembira kerana diberi kepercayaan menyampaikan lagu Raya untuk iklan Aeon Credit baru-baru ini,” katanya.

ELIZAD.
ELIZAD.

Tidak putus doa dikurniakan zuriat

Setiap pasangan yang berkahwin pastinya mengimpikan kehadiran cahaya mata bagi melengkapi bahtera yang dibina.

Begitu juga Elizad dan suaminya, Shamsul Baharin yang sudah dua tahun berkahwin tetapi belum mendapat cahaya mata.

Walaupun rimas kerana sering kali ditanya soal anak, Elizad terpaksa akur belum rezekinya untuk merasai nikmat itu.

“Saya dan suami sentiasa berusaha dan tidak pernah putus berdoa kepada Allah SWT untuk memiliki zuriat.

“Saya berharap netizen dan ‘mak cik bawang’ berhenti memberikan komen negatif di laman sosial kerana anak adalah rezeki dan ketentuan Ilahi.

“Bagaimanapun, saya bertuah kerana suami sangat memahami kerjaya seni yang diceburi dan sentiasa di sisi ketika susah dan senang,” katanya.

Elizad mendirikan rumah tangga dengan duda dua anak, Shamsul Baharin Rahman, 46, pada 11 Januari 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 7:52 AM