WARGA asing yang ditahan dalam operasi JIM di enam premis perniagaan di sekitar Taman Danau Desa, semalam. FOTO NSTP
WARGA asing yang ditahan dalam operasi JIM di enam premis perniagaan di sekitar Taman Danau Desa, semalam. FOTO NSTP
Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Mulanya bekerja sebagai kuli namun kini mampu memiliki premis perniagaan sendiri di Malaysia.

Itu antara kegiatan pendatang haram warga Bangladesh dan Myanmar yang dikesan memiliki pusat cuci kenderaan sekitar Taman Danau Desa di sini.

Kegiatan itu bagaimanapun dilumpuhkan sepasukan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang melakukan serbuan di enam premis perniagaan di lokasi itu kelmarin.

Dalam operasi bermula jam 3 petang itu, seramai 29 anggota dan pegawai JIM Putrajaya memeriksa premis pusat urut, pusat cuci kenderaan dan medan selera sebelum menahan 47 pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, M Saravana Kumar berkata, 14 PATI ditahan adalah warga Indonesia, lapan individu warga Myanmar, enam individu warga Bangladesh dan lima individu warga Thailand.

“Semua yang ditahan dipercayai pekerja di premis berkenaan dan melakukan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan dilakukan adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan penyalahgunaan pas,” katanya.

WARGA asing yang ditahan dalam operasi JIM di premis pusat urut di sekitar Taman Danau Desa, semalam. FOTO NSTP
WARGA asing yang ditahan dalam operasi JIM di premis pusat urut di sekitar Taman Danau Desa, semalam. FOTO NSTP

Menurutnya, ketika operasi dijalankan anggota dan pegawai berdepan cabaran tindakan agresif warga asing yang cuba melarikan diri.

“JIM menerima tindakan provokasi melampau oleh warga tempatan yang dipercayai tonto atau majikan yang cuba melindungi warga asing dari ditahan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semua pusat cuci kenderaan yang diperiksa diusahakan warga asing.

“Di kawasan yang sama juga terdapat beberapa tempat mencuci kenderaan yang sewenang-wenangnya diusahakan warga asing dan warga tempatan di atas tanah milik kerajaan.

“Kegiatan haram ini turut mengundang implikasi terhadap pencemaran alam sekitar,” katanya.

Semua warga asing yang ditahan akan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Jun 2018 @ 4:53 AM