ZAHIRAH Macwilson
ZAHIRAH Macwilson
Sudirman Mohd Tahir

Walaupun berdepan kisah sedih apabila putus cinta dengan Zul Ariffin Mac lalu, itu bukan alasan untuk figura cantik ini terus bersedih.

Malah, Zahirah Macwilson mengakui dia sudah lama ‘move on’ dan melupakan pelakon itu.

Bagi Zahirah, yang penting ketika ini adalah kehidupan diri sendiri dan kerjaya.

Aidilfiti yang bakal disambut tiga hari lagi dianggap hari kemenangan untuknya kerana berjaya membebaskan diri daripada kesedihan.

“Apa yang berlaku antara saya dan Zul adalah cerita lama. Kalau boleh saya tidak mahu lagi cerita atau ungkit mengenainya. Saya selesa dan gembira dengan kehidupan sekarang. Keutamaan saya sekarang adalah kerjaya. Saya mahu lebih fokus ke depan.

“Buat masa sekarang saya tidak mahu lagi memikirkan perkara lain seperti perhubungan. Nak fikir soal kahwin pun, saya tidak ada calon lagi. Saya percaya kepada jodoh. Kalau ada, adalah. Saya tidak mahu mencari. Takkan saya nak jadi perigi cari timba.

“Saya juga tidak terdesak atau terburu-buru nak cari pengganti. Biarlah saya berkawan dengan sesiapa pun,” katanya.

Kemeriahan 1 Syawal lebih bermakna apabila Zahirah yang popular menerusi drama Tak Ada Cinta Sepertimu dapat pulang ke Perth, Australia, Sabtu lalu.

Menurut Zahirah, dia sudah tidak sabar meraikan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan bersama ibu, bapa tiri dan adik-beradik.

“Sambutan Aidilfitri sama saja seperti sebelum ini iaitu lebih bersederhana dan saya bukan jenis berlebihan. Memandangkan lebaran tahun ini saya ada koleksi sendiri dengan Starvilion, jadi tidak perlu fikir atau bersusah payah nak cari baju raya.

“Untuk mama dan adik-beradik, saya juga tidak lupa menyediakan baju raya buat mereka. Kesempatan yang ada ini, saya tidak lepaskan peluang membuat kuih raya. Dapat buat satu atau dua jenis pun kira okey,” katanya.

Ditanya mengenai perasaan menyambut Aidilfitri bersama bapa tiri, Zahirah mengakui dia okey. Malah, sedikit sebanyak memeriahkan pagi Syawal mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah, bertambah lagi keluarga saya. Dia seorang yang baik, jadi saya dan adik-beradik senang dengan kehadirannya. Saya okey saja dan tidak berasa kekok pun,” katanya.

ZAHIRAH Macwilson
ZAHIRAH Macwilson

Tidak sunyi

Walaupun menyambut Aidilfitri di Perth, suasana tetap meriah kerana ramai penduduk negara lain yang menetap di sana turut meraikan Aidilfitri.

“Kawasan tempat tinggal kami ramai orang Melayu, jadi kami tidak sunyi. Ditambah pula, terdapat ramai lagi penduduk beragama Islam menetap di situ.

“Pagi raya semua berjalan ke masjid dan di situ dapat berkenalan dengan bangsa lain. Pendek kata, suasana Aidilfitri tetap dirasai, malah tidak ada sebab untuk saya berasa sunyi,” katanya yang turut menyediakan duit raya buat keluarga.

Menurut Zahirah, seminggu selepas Aidilfitri, dia perlu bersedia dengan latihan intensif bagi menjayakan filem aksi.

“Alhamdulillah, impian saya untuk berlakon filem aksi bakal terlaksana. Insya-Allah akan bekerjasama dengan pengarah Ghaz Abu Bakar. Memandangkan ia filem aksi, saya kena masuk latihan dan membentu tubuh badan supaya nampak ‘fit’.

“Pada masa sama, hujung bulan ini juga saya bakal terbabit dengan penggambaran drama. Cuma, hero belum ditentukan jadi saya belum boleh berkongsi lanjut.

“Saya okey saja berlakon dengan sesiapa pun. Saya bukan jenis memilih kerana apa yang penting adalah keserasian dalam menghidupkan sesuatu watak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sepanjang Ramadan ini Zahirah terbabit dalam drama Jangan Benci Cintaku bersama Saharul Ridzwan dan Izzue Islam.

Drama yang baru selesai menjalani penggambaran minggu lalu itu bakal ditayangkan menerusi slot Akasia di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 8:53 AM